Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Sekatan rentas negeri lebih lama dikhuatiri jejas pendapatan rakyat

Oleh B. Suffian

Sektor makanan dan minuman (F&B) serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada aktiviti pelancongan dan aktiviti-aktiviti lain berkenan dengan merentas negeri, akan terjejas jika larangan rentas negeri masih berkuatkuasa sehingga 70 peratus daripada populasi menerima vaksin.

Mantan Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata, ini memandangkan bahawa, untuk mencapai tahap vaksinasi 70 peratus daripada populasi mungkin akan mengambil masa seawal-awalnya Disember 2021,

“Soalan untuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), adakah impak ekonomi telah diambil kira jika larangan rentas negeri masih berkuatkuasa sehingga 70 peratus daripada populasi menerima vaksin?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Portal mStar pada Jumaat lalu melaporkan, sekatan pergerakan rentas negeri dan daerah berkemungkinan akan dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat telah diberi suntikan vaksin Covid-19, kata Dr. Noor Hisham.

Dr. Noor Hisham berkata, situasi berkenaan dipertimbangkan ekoran apa yang berlaku sebelum ini selepas kerajaan membenarkan kembali pergerakan rentas daerah pada 7 Disember tahun lalu yang menyaksikan peningkatan kes.

Dalam pada itu, Kian Ming meluahkan simpati terhadap ‘pakcik dan makcik’ yang menjual buah-buahan di singgahan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuhraya PLUS yang akan mengalami kemerosotan pendapatan semasa PKP 2.0 jika sekatan tersebut dilanjutkan. 

Jelasnya, beliau turut berasa kasihan terhadap keluarga yang bergantung kepada homestay di tempat-tempat seperti Bangi, Selangor dan Kuantan, Pahang sebagai sumber pendapatan mereka jikalau sekatan itu dilanjutkan.

“Saya juga simpati terhadap orang muda yang bekerja di stesen minyak di sepanjang lebuhraya yang akan kehilangan pekerjaan kerana tidak cukup pelanggan yang mengisi minyak dan membeli barang-barang. 

“Saya amat simpati terhadap nelayan-nelayan yang ada hasil laut tetapi tidak dapat menjual tangkapan mereka kerana pelanggan enggan keluar dari rumah dan merentas daerah dan negeri.

“Bantuan asal yang diberikan kepada Mak Kiah sudah habis digunakan. Wang i-Sinar yang sudah dikeluarkan daripada Akaun KWSP tentu akan dihabiskan sebelum akhir tahun. Apa yang akan terjadi kepada kumpulan-kumpulan ini?” soalnya lagi. 

Tambahnya, beliau berharap Dr. Noor Hisham boleh memberi pertimbangan yang sama kepada mereka yang mengalami kepayahan ekonomi yang teruk akibat daripada PKP 2.0. 

Menurutnya, beliau juga berharap, sekatan yang dicadangkan oleh Dr. Noor Hisham juga akan mengambil kira nyawa yang mungkin akan hilang akibat daripada impak ekonomi yang juga memberi kesan negatif terhadap keadaan kesihatan rakyat Malaysia. 

“Apakah kesan terhadap pusat penginapan seperti hotel, hostel dan homestay (inap desa) jika sekatan rentas negeri dilanjutkan sehingga akhir tahun ini?” soalnya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi berpendapat, sekiranya sekatan itu berlanjutan, sektor-sektor tersebut akan menerima kesan yang amat teruk. 

Menurutnya, ratusan hotel akan terpaksa ditutup untuk tahun ini dan mungkin juga pada masa akan datang. 

Mengulas lanjut, beliau bertanya sama ada pendirian Dr Noor Hisham telah disampaikan kepada MKN.

” Adakah ini akan dijadikan sebahagian daripada keputusan MKN apabila pengumuman sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan dilanjutkan selepas 4hb Mac 2021 dibuat pada minggu ini?,” katanya. – Roketkini.com