Kenyataan Akhbar

Menjunjung Perlembagaan Persekutuan

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

DAP menyambut ulang tahun parti ke-55 hari ini dengan tekad baru untuk menyegarkan semula Perlembagaan Persekutuan kita dan mengembalikan demokrasi berparlimen.  Sama seperti semasa penubuhan DAP pada tahun 1966, kita masih dipandu oleh objektif yang sama untuk melindungi, memelihara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan negara.

DAP tetap berpegang teguh pada cita-cita kita untuk mengamati hak-hak asasi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kita mengenai kemakmuran ekonomi, kebebasan demokratik, keadilan sosio-ekonomi, peluang saksama, kedaulatan undang-undang, menghormati kemajmukan dan martabat manusia.

DAP telah dibentuk untuk mewakili golongan pekerja Malaysia dan perniagaan yang mencari rezeki secara jujur. Kami bercita-cita menjadi wahana bagi rakyat Malaysia yang ingin melihat kerajaan yang adil kepada warganya, ejen reformasi untuk memupuk masyarakat yang progresif, tonggak perpaduan dalam kemajmukan, pembuka peluang, pemangkin perubahan kepada harapan bahawa kita dapat hidup dengan lebih baik dan medan impian yang membawa masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita.

DAP mungkin belum berjaya sepenuhnya tetapi kami berbangga dengan rekod prestasi kami sebagai parti pembangkang terbaik dan kerajaan yang baik. Kami menghormati integriti dan kecekapan pemimpin kami. Kami menghargai pengorbanan ahli dan pemimpin kami untuk menanam identiti rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dari Semenanjung Malaysia hingga Sabah dan Sarawak dalam setiap warganegara. 

Sejak penubuhannya, DAP bercita-cita menjadi sebuah parti Malaysia untuk semua.  Ramai yang secara salah meletakkan DAP sebagai parti yang hanya memperjuangkan kepentingan golongan tertentu, tetapi DAP terus membebaskan diri dari belenggu ekstremis kaum dan agama. DAP telah mengangkat wakil rakyat dari semua komuniti etnik utama.

Kaum dan agama masih digunakan untuk dijadikan alasan bagi rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020. Sudah tiba masanya semua kekuatan demokratik bersatu untuk menyelamatkan negara ini dan memulihkan Parlimen yang digantung.

Adalah tidak masuk akal bahawa Parlimen tidak boleh dibuka apabila semua sekolah dan pusat perniagaan dibenarkan, kecuali pub dan kelab malam.  Adakah Parlimen sekarang diturunkan taraf ke tahap yang sama seperti pub dan kelab malam oleh kerajaan PN?

Kerajaan PN yang tidak dipilih menawarkan Tawaran Baru kepada rakyat Malaysia, namun para pemimpinnya menggunakan retorik perkauman dan agama yang bersifat menghina dan memecahbelahkan. Apakah Tawaran Baru ini apabila wujud amalan dua darjat?

Menteri dibebaskan sementara rakyat biasa dihukum denda RM10,000 yang menekan kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Gerakan (PKP), mereka yang tidak menyokong kerajaan didakwa menghina mahkamah tetapi pemimpin prokerajaan pula dilayan sebaliknya, menggunakan faedah dan kelebihan sebagai kerajaan untuk mengumpan, membeli atau bahkan mengancam ahli politik pembangkang untuk menukarkan sokongan mereka kepada kerajaan dan kegagalan oleh agensi kerajaan untuk bertindak menentang penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

Jelas rakyat mendapat tawaran yang teruk ketika kerajaan telah gagal menguruskan krisis kesihatan awam COVID-19 sehingga menjadikan Malaysia terburuk di ASEAN dari segi kes jangkitan per kapita. Daripada bantuan kewangan yang berterusan dan berulang ketika krisis ekonomi, dasar sesuka hati dan selalu berubah-ubah telah menyebabkan Malaysia berisiko kehilangan keyakinan awam sebagai destinasi pelaburan, seperti yang disaksikan oleh penurunan penarafan kredit antarabangsa oleh Fitch Ratings.

Kita akan terkurung di masa lampau jika kita terus berpaut pada ancaman imaginasi tentang kaum atau agama atau amalan ekonomi masa lalu.  Tumpuan harus kita berikan pada ekonomi, terutama mewujudkan pekerjaan dan membantu perniagaan kecil yang melibatkan 80% rakyat Malaysia.

Kita boleh membina semula dan memberi nafas baru kepada Malaysia bersama-sama.  Kita perlu menyedari bahawa kita saling memerlukan dan negara ini milik kita bersama. Setiap rakyat Malaysia mesti saling menghormati dan mengerti bahawa kita mempunyai peranan masing-masing untuk memacu negara ke hadapan. Sebagai permulaan, marilah kita mengembalikan demokrasi berparlimen dan menjunjung Perlembagaan Malaysia kita.

Selamat Ulang Tahun Parti DAP ke-55!