Uncategorized

Kerajaan Negeri P.Pinang biayai tambang feri rakyat

Oleh Aziera NH

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri bagi semua penumpang pejalan kaki berstatus warganegara Malaysia bermula pada 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta meringankan beban rakyat ketika dibelenggu pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri bagi semua penumpang pejalan kaki berstatus warganegara Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia termasuk warga emas, orang dewasa, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) adalah layak untuk menikmati perkhidmatan ini secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Zairil yang juga merupakan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, cadangan tersebut susulan kepada perkhidmatan pas perjalanan My30 yang dilancarkan 1 Mac lalu yang mana kerajaan negeri turut membiayai perkhidmatan bas awam milik Rapid Penang secara percuma kepada semua penumpang yang melanggan pas tersebut.

Jelasnya, dengan pembiayaan tambang feri itu jaringan pengangkutan awam melalui air dan darat secara menyeluruh dapat digunakan secara percuma oleh pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Penumpang hanya perlu membawa MyKad/Kad Pengenalan sahaja dan perlu tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebelum menaiki feri,” katanya.

Menurut Zairil, pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan.

“Jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000.

“Kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang feri pada saat-saat kritikal ini sedikit banyak dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam,” jelasnya. – Roketkini.com