Kenyataan Akhbar

5 Sebab Keluarga Malaysia menuju kegagalan

Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Ucapan Perasmian Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor Oleh Lim Guan Eng di Shah Alam Pada 14 November 2021.

Kerajaan sebelum ini di bawah Muhyiddin Yassin dilihat sebagai kegagalan yang menyedihkan dalam menangani pandemik COVID-19 yang menyebabkan kehilangan hampir 30,000 nyawa dan 2.54 juta kes jangkitan serta kegagalan untuk mengatasi kemelesetan ekonomi yang berlaku.

Ismail Sabri telah cuba memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia bagi menggantikan kegagalan masa lalu.

Bagaimanapun, Keluarga Malaysia telah gagal untuk menghormati prinsip asas Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan, keadilan, demokrasi dan kemakmuran untuk semua.

Bagaimana Keluarga Malaysia dapat menyatukan semua rakyat Malaysia dan memastikan kestabilan politik apabila PN dan BN berlawan antara satu sama lain seperti kucing dan anjing dalam pilihan raya negeri Melaka? Serangan dan serangan balas menggunakan perkataan seperti bodoh dan jahat serta mencabar antara satu sama lain untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Johor menimbulkan persoalan bagaimana BN dan PN boleh terus mentadbir Putrajaya dengan berkesan.

Keluarga Malaysia tidak inklusif dan tidak adil kepada semua rakyat Malaysia, apabila Belanjawan 2022 memberikan peruntukan yang lebih sedikit kepada masyarakat bukan Melayu walaupun Belanjawan 2022 berjumlah RM 332 bilion berbanding Belanjawan PH 2020 sebanyak RM297 bilion. DAP tidak menentang peruntukan RM11.4 bilion kepada Bumiputera atau sebarang peruntukan tambahan untuk agama Islam. DAP membantah ketidakadilan peruntukan Belanjawan yang menyedihkan di mana peruntukan yang diberikan kepada bukan Bumiputera berjumlah RM465 juta, termasuk pendidikan vernakular, adalah 1.4% daripada Belanjawan terbesar dalam sejarah berjumlah RM332 bilion. 1.4% ini tidak setanding dengan 30% penduduk bukan Melayu di Malaysia.

Keluarga Malaysia telah membuat lebih banyak lantikan politik kepada GLC dan Duta Khas berstatus Menteri berbanding Muhyiddin Yassin. Bagaimana ahli politik dapat menyumbang secara produktif dan cekap dalam hal-hal khusus di mana mereka tidak mempunyai kepakaran profesional? Ini sama seperti meminta ahli politik melakukan pembedahan perubatan atau menerbangkan pesawat.

Keluarga Malaysia juga telah gagal memenuhi janji-janjinya mengenai internet yang lebih pantas atau Kereta Api Berkelajuan Tinggi Singapura (HSR) Kuala Lumpur. Di bawah PH, projek HSR telah disemak semula bagi menyusun semula kos yang tinggi tanpa menjejaskan konsep asas projek. Malangnya, projek HSR tidak lagi berhenti di Singapura tetapi hanya di Johor Bahru. Ini tidak menjadikan projek itu berdaya maju daripada segi kewangan dan tidak praktikal.

Akhir sekali, Keluarga Malaysia telah gagal bertindak apabila agensi kerajaan digunakan sebagai senjata terhadap penentang politik kerajaan serta kematian yang sangat sensitif melibatkan mereka yang berada di bawah tahanan polis, Teoh Beng Hock dan ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kerajaan Persekutuan sekarang telah menunjukkan bahawa ia adalah kerajaan yang berpecah belah serta mengamalkan dasar yang memihak kepada kroni dengan mengorbankan rakyat.

Konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri Ismail Sabri tidak boleh menjadi sekadar slogan semata-mata tetapi perlu diikuti dengan tindakan dan dasar yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Kita hanya boleh menang apabila kita bersatu dan berpegang teguh kepada cita-cita dan prinsip berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di mana hak asasi manusia dan maruah manusia dijunjung, saling menghormati perbezaan antara kita. DAP adalah contoh terbaik bagi perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dengan berjuang untuk semua serta memperjuangkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemakmuran untuk semua.

Selangor perlu memimpin melalui teladan dengan menunjukkan disiplin yang diperlukan oleh parti untuk memenangi kerusi kita di Melaka. – Roketkini.com