Kenyataan Akhbar

Masalah banjir di Melaka perlukan penyelesaian tuntas

Kenyataan Media Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka pada 4 Januari 2022

Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Melaka telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Durian Tunggal dan Alor Gajah pada hari ini.

Lawatan mereka amat dialu-alukan tetapi saya berharap mereka mengambil peluang ini untuk melihat sendiri kesusahan yang dihadapi oleh rakyat akibat daripada kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di Melaka.

Masalah banjir di Melaka bukan isu yang baharu. Sejak saya menjadi ADUN pada tahun 2008, banjir kilat berlaku hampir setiap tahun di beberapa kawasan “hotspot” apabila hujan turun dengan lebat, khususnya pada musim tengkujuh iaitu pada bulan November hingga Mac setiap tahun.

Apabila banjir kilat berlaku dengan begitu kerap, lebih-lebih lagi di beberapa kawasan yang sama, ia bukan lagi suatu bencana semata-mata, tetapi juga merupakan kegagalan kerajaan untuk mengenal pasti punca masalah dan mengambil langkah-langkah penyelesaian yang efektif.

Perdana Menteri dan Ketua Menteri perlu mengambil kesempatan ini untuk memahami punca berlakunya banjir kilat secara berulang kali dan menyatakan komitmen mereka untuk menyelesaikannya secara menyeluruh.

Antara punca utama banjir kilat berlaku adalah kegagalan untuk memastikan infrastruktur pengairan dan saliran diselenggara dan dinaiktaraf dengan baik.

Sebagai contoh, pintu kawalan air (baraj) Sungai Melaka telah rosak untuk beberapa tahun tetapi masih belum dibaik pulih. Baraj ini mempunyai 4 pintu, tetapi hanya 1 yang boleh berfungsi. Oleh itu, air hujan tidak dapat mengalir ke sungai dengan baik.

Pada tahun 2019, mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng akhirnya membantu dan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membaiki baraj air tersebut setelah perkara ini dibangkitkan oleh wakil rakyat Pakatan Harapan. Tetapi setelah berlakunya pertukaran kerajaan, projek tersebut masih tidak siap lagi sehingga hari ini. Rakyat menanti-nantikan sama ada projek ini akan siap pada April 2022 seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri.

Dalam Belanjawan 2022 negeri Melaka, Ketua Menteri juga telah mengumumkan bahawa RM931.2 juta ringgit akan diperuntukkan untuk projek-projek pengurangan banjir. Selain itu, Perdana Menteri juga telah mengumumkan ketika lawatan beliau ke Melaka hari ini bahawa peruntukan RM8 juta tambahan telah diluluskan untuk langkah-langkah jangka masa pendek. Semua peruntukan ini amat dialu-alukan tetapi projek-projek tersebut perlu dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

Banjir kilat juga berlaku kerana kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan gagal merancang dan memantau pembangunan dengan baik. Pembangunan telah berlaku dengan pesat dengan terbinanya pelbagai bangunan yang besar dan tinggi di kawasan bandar.

Namun, adakah sistem saliran telah dinaik taraf dengan menyeluruh untuk memenuhi keperluan semasa? Projek tambakan laut telah dijalankan secara besar-besaran di Melaka. Ini menyebabkan gangguan terhadap aliran sungai dan air hujan ke laut ketika hujan turun.

Selain itu, kebersihan sungai dan parit-parit utama perlu dijaga dengan baik. Hasil tinjauan saya dan beberapa ADUN mendapati parit dan longkang utama sering dipenuhi dengan sampah dan ini menjejaskan saliran air ketika hujan. Pihak berkuasa wajar memantau dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan lebih kerap, khususnya pada musim hujan. Dalam isu ini, orang awam juga perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjaga kebersihan sungai dan parit kita.

Tidak dinafikan bahawa masalah banjir merupakan isu rumit. Namun kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin