Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Tangani isu pokok, pastikan setiap mahasiswa mampu miliki komputer riba sendiri

Oleh Aziera NH 

Kerajaan perlu memperluaskan inisiatif “PerantiSiswa” yang dilancarkan pada Belanjawan 2022 untuk memastikan setiap mahasiswa dan pelajar B40 mendapat sebuah komputer riba.

Ketua DAPSY, Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan seharusnya ada polisi yang holistik untuk memastikan setiap mahasiswa di Malaysia yang tidak mampu, terutamanya dari golongan B40 untuk mendapatkan sebuah komputer riba.

“ …untuk memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding dengan mahasiswa-mahasiswa lain yang mungkin mampu memiliki komputer riba sendiri.

“ Kita juga mendesak agar kerajaan mempercepatkan pengedaran laptop tersebut supaya mereka yang memerlukannya akan mendapatnya secepat mungkin dan tidak ketinggalan dalam jurusan mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dr. Kelvin Yii yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching mengulas isu dan klip video yang tular di media sosial hari ini yang melibatkan seorang ahli akademik yang telah jelas menghina dan bersikap kurang sopan terhadap mahasiswa, disebabkan status ekonomi keluarganya.

“ Kami berpendapat bahawa isu ini tidak haruslah dipandang remeh dan pihak UiTM dan universiti haruslah pastikan bahawa ahli akademik tersebut dikenakan tindakan sewajarnya termasuk digantung sementara siasatan dijalankan,” ujarnya.

Oleh itu, Kelvin menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk menangani perkara pokok dalam isu ini, iaitu isu mahasiswa yang tidak mampu memiliki komputer riba yang merupakan satu keperluan asas di peringkat universiti. – Roketkini.com