Kenyataan Akhbar

Kerajaan Negeri Selangor prihatin dan komited pastikan rakyat nikmati kemudahan pengangkutan awam yang selamat dan cekap

Kenyataan Media ADUN Kinrara, Ng Sze Han Mengenai Pembukaan Laluan MRT2 Fasa 1

Hasrat ini selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) untuk melipatgandakan kadar penggunaan pengangkutan awam di Selangor daripada 20% kepada 60% menjelang tahun 2030.

Pembukaan laluan Fasa 1 Perkhidmatan Transit Aliran Masa 2 (MRT2) dari Kampung Batu (Kuala Lumpur) hingga Kwasa Damansara di Shah Alam, Selangor hari ini merupakan satu perkembangan positif untuk menambah baik jaringan pengangkutan awam di Selangor. 

Ia menepati agenda yang digariskan di dalam PIPANS.

Kerajaan Negeri Selangor yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan & Pengangkutan Awam serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam telah berpeluang mencuba kemudahan MRT2 pada 14 Jun 2022 bersama MRT Corp.

Dengan kemampuan gerabak Keretapi MRT2 membawa sejumlah 1,200 orang dalam satu masa, serta ketersambungan dengan system rel yang lain, kemudahan ini tentunya akan membawa manfaat kepada 6.57 juta penduduk Selangor.

Ini terutamanya apabila laluan MRT2 Fasa 2 mula beroperasi pada Januari 2023, yang akan menghubungkan laluan ini ke Cyberjaya dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. 

Selaras dengan pembukaan MRT2 ini, Kerajaan Negeri Selangor berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan penambahan bilangan bas serta laluan bas khususnya di kawasan penduduk padat di Negeri Selangor.

Inisiatif ini akan dapat menjayakan pemerkasaan “first and last mile connectivity” di seluruh Lembah Klang yang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

Bagi menyokong usaha pemerkasaan “first and last mile connectivity”, Kerajaan Negeri Selangor telah pun memperkenalkan Perkhidmatan Percuma Bas Smart Selangor sejak tahun 2015 dengan anggaran RM40 juta setahun disediakan untuk tujuan ini.

Dengan usaha-usaha seperti ini, diharapkan ia dapat meningkatkan minat rakyat Negeri Selangor untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi berkaitan bagi meningkatkan kadar penggunaan Pengangkutan Awam di Negeri Selangor. – Roketkini.com