Berita

Isu Melayu Pulau Pinang: UMNO hanya nampak kuman di seberang laut

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 MEI: Mengapa pemimpin dan pecacai UMNO diam membisu dalam isu harga rumah yang amat mahal di wilayah Iskandar, Johor yang hanya mampu dimiliki oleh warga asing, termasuk pembeli dari Singapura?

Mengapa pemimpin dan pecacai UMNO tidak berani mendedahkan perkara sebenar di mana harga rumah di Iskandar, Johor jauh lebih mahal dari harga di Pulau Pinang, iaitu sekurang-kurangnya RM3 juta seunit, yang tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu?

Adakah masalah harga rumah dan tanah yang mahal di Johor akan hanya menjadi isu kepada UMNO jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan negeri di Johor selepas pilihan raya umum akan datang?

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, keghairan UMNO-Barisan Nasional mahu mendapat undi Melayu telah menyebabkan mereka berkali-kali mainkan sentimen perkauman dengan fitnah jahat bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mahu meminggirkan atau mengusir Melayu.

“Ini boleh dilihat dengan keengganan media massa yang dikuasai BN menyiarkan kenyataan kerajaan negeri membetulkan fitnah jahat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sekurang-kurangnya 18,000 unit rumah mampu milik dijangka dibina oleh pihak kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah Fasa 1 dan 2 Tabung Perumahan Mampu Milik RM500 juta di kelima-lima daerah di Pulau Pinang.

Tambah beliau, 18,000 unit rumah mampu milik akan dibina melalui agensi pelaksana Penang Development Corporation(PDC) manakala pemaju swasta pula dijangka menyumbang 20,000 unit lagi.

Fasa 1 bernilai RM2.7 bilion yang merangkumi 12,000 yunit di atas tanah seluas 200 ekar di Batu Kawan, Daerah Seberang Perai Selatan, telah dilancarkan pada 17 Februari 2012.

Manakala Fasa 2 melibatkan 77 ekar tanah yang telah dikenal pasti di empat daerah lain di Pulau Pinang yang boleh menyumbang 6,000 unit rumah mampu milik.

Keseluruhan tanah sebanyak 277 ekar untuk perumahan mampu milik telah dikenal pasti di kesemua lima-lima daerah di seluruh Pulau Pinang seperti berikut:

NO Daerah Jumlah  Luas (Ekar)
1 Seberang Perai Utara 28.90
2 Seberang Perai Tengah 31.71
3 Daerah Timur Laut 10.21
4 Daerah Barat-Daya 5.84
5 Seberang Perai Selatan 200(PDC)
JUMLAH 277 Ekar

 

Sejak kerajaan negeri PR memerintah pada 2008 sehingga sekarang, sebanyak 11,596 rumah kos rendah dan sederhana rendah telah dibina oleh kerajaan negeri dan pihak swasta seperti berikut:-

Kos Rendah Kos Sederhana Rendah Jumlah
Kerajaan 1,194 2,227 3,421
Swasta 2,612 5,563 8,175
Jumlah 3,806 7,790 11,596

Fasa 1 akan memakan masa pembinaan sekurang-kurangnya 3 tahun manakala laporan terperinci tentang pembinaan rumah mampu milik di bawah Fasa 2 akan siap dalam masa sebulan lagi.

“Usaha kerajaan negeri adalah yang terbesar di antara negeri di Malaysia dan sekaligus menyangkal fitnah UMNO-BN  bahawa kerajaan negeri tidak ambil berat tentang pembinaan rumah mampu milik,” kata Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam membina perumahan mampu milik akan juga menolak fitnah bahawa kerajaan negeri ada agenda halus mengusir orang Melayu daripada Pulau Pinang, yang didakwa berkurangan 18,000 orang Melayu dalam 2010.

“Sehingga hari ini UMNO tidak dapat menafikan laporan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tahun 2011 yang menunjukkan tambahan pengundi Melayu sebanyak 34,931 orang berbanding dengan pilihan raya umum 2008.

“Macam mana orang Melayu boleh kurang 18,000 orang bila pengundi Melayu telah bertambah 34,931 orang? Adakah UMNO sekarang juga tidak mempercayai angka dan Daftar Pemilih SPR?” soal beliau.

Sementara itu, peserta perhimpunan BERSIH 3.0, Asrul Wadi Ahmad yang cedera di matanya akibat terkena kanister gas pemedih mata yang ditembak oleh polis pada 28 April lalu, telah melawat pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang semalam.

Guan Eng telah memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu Asrul, seorang jurutera, dalam apa jua bentuk yang dapat meringankan masalah yang dihadapinya.

Menurut ibu Asrul, “Dia lah satu-satu harapan kami.” Beliau mempunyai enam lagi adik-beradik. – Roketkini.com