Rencana

Adakah kita benar-benar faham tentang sekular? – Oleh Mazir Ibrahim

Momok tentang istilah ‘sekular’ telah memesongkan akal sesetengah kita ke satu tahap yang mana rasional atau kewarasan sudah tidak penting dalam menilai sesuatu makna.

Yang dikatakan sekular itu tidak sama dengan fahaman sekularisme. Sama contohnya seperti Islam itu tidak sama dengan satu fahaman yang dinamakan Islamisme. Yang pertama itu addin yang syumul manakala yang “isme” itu pula adalah satu bentuk fahaman atau ideologi politik agama yang khusus.

Begitu juga dengan istilah sekular yang tidak sama dengan sekularisme. Sekularisme adalah satu fahaman yang menolak fungsi agama dalam kehidupan. Itu jelas sama sekali, dan bagi kita yang beragama, tentu sekali akan menolaknya.

Makna sekular

Namun yang pasti, istilah sekularisme ini berasal dari perkataan ‘sekular’ yang mana ia adalah panduan atau asas bagaimana manusia mengasingkan hal mengurus peranan dan fungsi daulah (kerajaan/parti) dengan mengurus amalan kepercayaan (agama) seseorang itu.

Jika membaca petikan sedemikian sepintas lalu tanpa menghalusi dimensi makna atau nilai, pasti kita akan menganggap bahawa sekular ini adalah alat canggih yang digunakan oleh ‘penjajah agama’ untuk membunuh kepercayaan agama penganutnya – kita.

Justeru tidak hairanlah ada beberapa kelompok yang merasakan dirinya sebagai ‘pengawal’ agama lebih cenderung untuk membina dan mengambil persepsi negatif daripada istilah ‘sekular’ kepada ‘sekularisme’ ini.

Tetapi, sebagai Muslim yang menyahut seruan kitab sucinya Quran, iaitu mempergunakan akal waras untuk menimbang dan menghalusi dimensi sebenar istilah yang telah dikarutkan ini, pasti banyak persoalan yang boleh membantu merungkai hal yang sangat sensitif disebut di Malaysia ini.

Hal tamadun kemanusiaan, manusia berkumpul dan menubuhkan satu lembaga yang kita kenal sebagai institusi (organisasi/negara), ia merangkumi dua hal utama iaitu kerajaan atau parti dan hal keagamaan. Yang mana kedua-dua ini memerlukan keinginan, daya dan kuasa untuk berfungsi.

Tanpa mandat kuasa, mustahil kedua-dua entiti ini boleh berfungsi dengan baik. Oleh itu, untuk mendapat kuasa, maka kedua-dua bentuk entiti ini perlu diurus oleh manusia yang telah dipilih oleh ahli-ahlinya (rakyat/penganutnya).

Hal ‘urus’ ini samalah dengan konsep mengurus sepertimana yang kita fahami dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan, baik dalam hal sosial, ekonomi, sukan, seni dan segala aspek yang melibatkan perihal urustadbir.

Amalan manusia dan kemanusiaan

Oleh kerana hal anutan kepercayaan (agama) ini juga wujud dalam satu konsep bernegara, maka mahu tidak mahu, agama juga telah menjadi lembaga atau institusi atas satu-satu peranan atau dasar yang telah disepakati oleh penganutnya.

Maka ini berbalik semula kepada persoalan asas itu tadi, iaitu setiap organisasi (institusi) memerlukan pengurus dan pengurusan.

Hal yang melibatkan aspek pengurusan ini pula secara asasnya adalah persoalan teknikal, pengetahuan dan pengalaman. Itu sahaja, tiada kaitan dengan apa agama seseorang itu.

Sebagai contoh, setiap organisasi memerlukan audit, ilmu audit ini adalah ilmu kira-kira. Setiap institusi pula perlu ada akaun, maka akauntan memerlukan ilmu dan pengalaman sebagai pengurus kewangan. Setiap jabatan memerlukan pengurus untuk memandu jabatan ke satu tahap pengurusan yang meyakinkan pelanggannya, ini memerlukan ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang hal ehawal mengurus, mengurus masalah, mengurus konflik/krisis, mengurus bakat, mengurus pekerja dan sebagainya.

Justeru, disiplin-disiplin ilmu ini pada umumnya tiada kaitan sama sekali dengan hal ehwal kepercayaan agama seseorang itu. Ia hanya soal lahiriah, akal, kemampuan berfikir dan pengalaman semata-mata.

Tetapi, sungguhpun disiplin ilmu ini dalam kerangka ilmu tentang kebendaan, setiap manusia itu memang semestinya mempunyai akidah tertentu, maka di sinilah bermulanya hubungan antara hal agama (kepercayaan) dengan pengetahuan, iaitu nilai.

Perkara-perkara yang bersifat moral seperti amanah, jujur dan ikhlas adalah nilai. Dan agama itu sendiri sememangnya menekankan soal nilai.

Akauntan yang hebat dan berilmu tidak semestinya amanah. Pengurus yang baik dan cekap tidak semestinya berakhlak. Maka nilai tambah terhadap ilmu dan kepakaran mereka itu adalah nilai moral yang berkaitan langsung dengan kepercayaan atau agama seseorang itu

Jika dia seorang akauntan Muslim yang ikhlas, pasti dia mahu jadi amanah. Jika dia seorang pengurus beragama Kristian yang jujur, pasti dia menjaga akhlaknya. Kesannya tentulah kepada organisasi atau institusi yang diurusnya. Jika baik, maka baiklah ia. Jika tidak maka rosaklah jabatan atau organisasinya.

Kesan atau hasil dari pengurusan yang bagus adalah untuk rakyat jua adanya. Maka tidak timbul soal penganut agama apa (lebih utama) yang mengurusnya sebaliknya kemahiran, pengetahuan, prestasi dan kejujuran pengurus itu yang menjadi isunya.

Agama, nilai dan kesannya

Jadi, pada fasa inilah agama mula berperanan dalam hal-ehwal pengurusan. Agama bukan berperanan sebagai ‘pengurus’ yang mengambil peranan pengurus organisasi, kerajaan, parti hinggalah rakyat. Agama boleh menjadi nilai asas peribadi atau nilai tambah terhadap sang pengurus (diri seseorang itu), baik pada pengetahuannya, pengalannya dan kepakarannya. Ia tidak boleh dijadikan alasan politik yang membenarkan yang batil atau membatilkan yang benar.

Namun, adakah ini bermakna agama lebih rendah tarafnya dari hal keduniaan? Jawapannya tidak kerana nilai yang baik memang akan sentiasa berada di atas. Jika Muslim yang melakukan kebaikan, maka Islamlah yang tinggi, tetapi jika Muslim yang melakukan korupsi, maka kita sendiri pun tahulah akan kesannya.

Jadi, jika dilihat pengasingan antara mengurus kebendaan dengan hal kepercayaan agama ini, maka dengan mudah dapat kita fahami bahawa pengasingan ini mempunyai dalil (sebab) dan ianya adil. Ia memudahkan untuk kita faham antara bekerja menggunakan akal (kemahiran dan ilmu) dengan bekerja menggunakan agama (nilai dan hukum).

Apatah lagi dalam demografi negara kita yang secara alaminya pelbagai bangsa, budaya dan pelbagai anutan kepercayaan. Maka secara konsepnya, idea sekular dalam hal bernegara itu wajar supaya tidak ada penganut agama minoriti lain yang tertindas dalam mana-mana bidang kerjaya mereka. Malah, ia menjamin penganut majoriti tidak menindas yang minoriti kerana penindasan bererti melanggar ajaran agama itu sendiri.

Bukankah ini nilai yang baik, apatah lagi Islam menekankan soal keadilan kepada semua. Sekular sendiri tidak pernah menolak nilai baik yang dianjurkan oleh mana-mana agama, sekular juga tidak pernah menafikan peranan atau fungsi akhlak dalam menjalankan kewajipan kerja seseorang itu dan sekular tidak pernah menolak sama sekali kewujudan agama dalam sebuah negara.

Mengapa DAP memilih demokrasi sekular?

Sekular hanya alat untuk membantu manusia untuk bekerja dengan kudrat akal dan tenaga yang tuhan beri. Jika alat ini (sekular) disalah tafsir atau disalah guna, mengapa istilah sekular ini pula dipersalahkan? Bukankah yang menyalahgunakan istilah ini juga adalah manusia yang umumnya beragama.

Kerana itu DAP mahu negara ini mengekalkan Perlembagaan Persekutuan yang bersifat sekular (tetapi bukan menganut fahaman sekularisme), kerana sekular juga adalah alat yang dapat membantu mengelakkan manusia yang melakukan korupsi dengan menyalahgunakan nama agama dan Tuhan.

Ada antara kita yang tidak sedar bahawa pimpinan UMNO sejak lebih 40 tahun lalu telah menggunakan nama agama dan bangsa untuk merompak harta dan hak rakyat. Jadi, dalam hal semacam ini, adakah kita ingin menyalahkan Islam atau sekular? Pastinya tidak kedua-duanya, kerana yang melakukan kesalahan itu adalah manusia.

Malah, pemimpin negara umat Islam seperti Saddam Hussein, Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi serta pemerintahan ulama Iran juga melakukan kezaliman atas nama agama dan imej Islamnya, dan kita dapat lihat bagaimana rakyat mereka yang sendiri yang rata-ratanya beragama Islam bangkit menentang kekejaman dan penindasan mereka.

Islam dalam konsep sebuah negara bukanlah semata-mata imej yang boleh disarung seperti memakai  t-shirt dan hanya bercakap soal dekorasi agama (label, imej, warna dan saiz agama) hingga lupa bahawa Islam lebih menekankan aspek nilai moral dan kebajikan dalam bernegara.

Maka tentunya konsep Negara Berkebajikan yang di bawakan oleh PAS hari ini yang sarat dengan nilai-nilai moral dan kebajikan Islam adalah jauh lebih baik daripada pengisytiharan Malaysia sebagai “Negara Islam” oleh mantan Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan UMNO-BN yang korup, tidak amanah, penuh dengan penyelewengan dan diskriminasi serta mengekang kebebasan dan hak asasi manusia. – Roketkini.com