Berita

Kerajaan lambat tangani penggodam antarabangsa?

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Kerajaan Malaysia dilihat gagal menangani usaha oleh sekumpulan penggodam, kerana sehingga jam 11 pagi, laman web rasmi www.malaysia.gov.my masih belum pulih.

Bagaimana pun, menurut kenyataan rasmi oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia yang dikeluarkan hari ini, sekurang-kurangnya 51 laman rasmi kerajaan gov.my telah digodam.

Tambah SKMM, serangan dipercayai bermula lebih kurang 11.30 malam tadi.

“Kami tidak rasa usaha pemulihan laman-laman ini mengambil masa yang lama,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Jelas kenyataan media itu lagi, serangan oleh penggodam kian surut bermula 4 pagi ini.

Pada 12 Jun lalu, sekumpulan penggodam antarabangsa dikenali Anonymous megeluarkan kenyataan untuk menggodam laman rasmi kerajaan Malaysia berikutan undang-undang ketat kerajaan Malaysia menyekat beberapa laman web perkongsian fail.

Menurut kenyataan yang dipetik dari laman Pastebin.com 12 Jun lalu, penggodam Anonymous melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang paling ketat undang-undang terutamanya kebebasan terhadap media.

“Undang-undang penapisan tidak boleh dimaafkan, kerajaan Malaysia telah melanggar kebebasan manusia,” kata kenyataan itu.

Tinjauan Roketkini mendapati sehingga jam 8 pagi, hampir 10 laman web kerajaan dan agensinya tidak dapat dilayari akibat dari serangan oleh penggodam tersebut.

Antara laman web yang digodam ialah:

  • http://www.mocat.gov.my/
  • http://www.cidb.gov.my/
  • http://bpp.treasury.gov.my/web/
  • http://www.aseanconnect.gov.my/
  • http://www.parlimen.gov.my/
  • http://www.kpkk.gov.my/
  • http://www.imi.gov.my/
  • http://www.tourism.gov.my/

Bagaimanapun laman-laman web tersebut semakin pulih, kecuali laman www.malaysia.gov.my sehingga 11.30 pagi ini.

Petang semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan laman web kerajaan selamat daripada digodam.  – Roketkini.com