Rencana

Mengenali DAP: Bahagian Keempat – Mengukuhkan perpaduan pembangkang

Sebagaimana pertelingkahan di antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987-88 memberi ruang untuk pembangkang untuk menarik sokongan rakyat, tahun 1998 membuka satu lagi peluang kepada DAP dan pembangkang lain.

Pertama, apa yang digambarkan sebagai kecemerlangan ekonomi Malaysia telah didedahkan sebagai ekonomi buih yang mudah diruntuhkan oleh kesan ekonomi global pada akhir 1997. Kedua, pemecatan, penahahan, penyiksaan dan pertuduhan palsu terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir 1998. Kedua-dua faktor ini meletakkan Dr Mahathir dalam kegawatan besar yang tidak pernah dihadapinya selama ini. Rakyat berhimpun di ibu kota untuk menyuarakan kemarahan melalui demonstrasi Reformasi.

PRU 1999

Parti-parti pembangkang kembali duduk semeja setelah hampir satu dekad. Barisan Alternatif (BA) diwujudkan bersama dengan DAP, PAS, PRM dan parti baru Parti Keadilan Nasional yang membawa perjuangan Anwar untuk menentang BN dalam PRU 1999.

BN sekali lagi kembali kepada taktik pecah dan perintah. Imej keganasan demonstrasi Reformasi di Indonesia yang menumbangkan diktator Suharto dipaparkan di media massa dan papan iklan, terutamanya di kawasan majoriti bukan Melayu. Ini bertujuan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina bahawa jika orang Melayu menunjuk perasaan, ia boleh berakhir dengan darah dan hancur musnah harta benda.

Kesannya, BN kekal berkuasa walau pun terus gagal di Kelantan dan kehilangan Terengganu kepada PAS. Sebaliknya, DAP hanya menang 10 kerusi Parlimen.  Antara tokoh-tokoh parti yang tewas dalam PRU 1999 adalah Dr Chen Man Hin, Kit Siang dan Karpal.

Pada September 2001, DAP sekali lagi mengundur diri dari pakatan pembangkang apabila PAS membangkitkan semula isu Negara Islam. Sejak keputusan PRU 1999, DAP cuba mencari penyelesaian isu Negara Islam termasuk dengan mengemukakan pendirian kepada BA.  DAP mengingatkan rakan-rakan BA bahawa manifesto 1990 dengan slogan “Ke Arah Negara Malaysia Yang Adil” telah menjelaskan bahawa walau pun setiap rakan mempunyai ideologi masing-masing,

BA bergerak atas dasar prinsip and struktur asas Perlembagaan Persekutuan. Ini bererti sebarang usaha untuk mendirikan Negara Kristian, Hindu, Islam atau apa-apa bentuk pemerintahan agama adalah bertentangan dengan pendirian BA. Ia juga bererti undi untuk BA adalah undi untuk demokrasi, keadilan dan pemerintahan yang baik, dan bukannya untuk pemerintahan teokrasi.

Apabila PAS enggan bertolak ansur dalam isu berkenaan pada masa itu, DAP tidak mempunyai pilihan lain kecuali meninggalkan pakatan pembangkang pada 21 September 2001. Keadaan bertambah buruk untuk pembangkang apabila PAS mengumumkan Dokumen Negara Islam pada 2003 yang terus menutup pintu kerjasama antara pembangkang. Di pihak BN pula, Dr Mahathir yang semakin terasa dirinya tidak popular telah mengumumkan persaraan dari politik dan menamakan timbalannya Tun Abdullah Badawi sebagai pengganti pada 2003.

PRU 2004

Dalam PRU 2004, BN menang besar kerana imej dan janji-janji reformasi Abdullah serta kelegaan rakyat berikutan berakhirnya era Mahathir selama 23 tahun. PAS kalah teruk dengan hanya menang 7 kerusi Parlimen serta kehilangan DUN Terengganu walau pun masih mengekalkan Kelantan. (Dalam PRU 1999, PAS menang 27 kerusi Parlimen). DAP pula, walau pun terpaksa bersaing di beberapa kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR yang ditukar dari nama asalnya Parti Keadilan Nasional apabila pemimpin dan ahli PRM menyertainya beramai-ramai pada 2003), menang 12 kerusi Parlimen. Kit Siang turut menang dan kembali ke Dewan rakyat sebagai Ketua Pembangkang. PKR pula tewas teruk dengan mengekalkan satu kerusi Parlimen sahaja.

Namun kemenangan besar BN hanya untuk seketika sahaja kerana terdedah selepas itu tentang kelemahan kepimpinan Abdullah yang gagal menyempurnakan janji-janjinya. Malah Dr Mahathir yang tidak tahu cara untuk berdiam diri dan masih gila publisiti telah mengecam hebat kepimpinan Abdullah yang menyebabkan rakyat dari pelbagai kaum dan agama tidak puas hati dengan Perdana Menteri.

Dalam keadaan serba kekurangan dan tanpa persediaan lengkap, DAP dan PKR duduk semeja untuk mencapai kata sepakat bagi mengutarakan isu-isu bersama seperti penyelewengan, salah guna kuasa dan perpaduan kaum untuk membuat perkiraan politik bersama dalam hal pembahagian kerusi. Hasilnya, hampir tiada pertandingan tiga penjuru di semua kerusi yang membolehkan akar umbi pembangkang kempen secara bersama.

Bahang kuasa rakyat pula semakin panas apabila berpuluh ribu rakyat berhimpun secara aman menuntut pilihan raya bersih dalam Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 10 November 2007. Dua minggu selepas itu, rakyat, terutamanya kaum India, sekali lagi berhimpun di ibu kota dalam Perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007..

PRU 2008

Dalam PRU 2008, satu sejarah politik telah tercatat. Majoriti dua pertiga BN di Parlimen telah dinafikan sejak 1969 manakala lima negeri termasuk Kelantan jatuh kepada pembangkang. Kejayaan cemerlang ini yang disifatkan sebagai tsunami politik Malaysia telah membawa DAP, PAS dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat. Daripada 82 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan, DAP memperolehi 28 kerusi serta berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan menyediakan barisan kepimpinan kanan dalam pentadbiran negeri-negeri di Selangor dan Perak. PKR menang 23 kerusi Parlimen manakala PAS 23.

Sebagaimana yang biasa dilakukan oleh BN sejak zaman Perikatan lagi, segala jentera kerajaan dan media massa digunakan untuk memfitnah dan menakut-nakutkan rakyat. Malah, wakil-wakil rakyat turut “dibeli” sehingga kerajaan negeri Perak dapat dijatuhkan pada Februari 2009 apabila tiga ADUN termasuk satu dari DAP berpaling tadah menyokong BN. Walau pun tindakan undang-undang diambil, hegemoni UMNO yang terlalu kuat dan kukuh dalam pentadbiran Pusat telah menghalalkan politik lompat dengan mengetepikan prinsip dan amalan demokrasi.

Datuk Seri Najib Razak, anak kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak, mengambil alih pentadbiran negara daripada Abdullah pada April 3, 2009 dengan memulakan langkah awalnya untuk menarik kembali sokongan rakyat melalui slogan 1Malaysia – hampir sama dengan konsep Malaysian Malaysia dan Utamakan Rakyat Malaysia DAP.

Namun dalam masa yang singkat sahaja, Najib tunduk kepada desakan kumpulan radikal UMNO yang mahu Malaysia dikuasai oleh orang Melayu tanpa memberi banyak ruang kepada kaum-kaum lain kecuali mereka yang sanggup tunduk kepada apa yang dikatakan sebagai Ketuanan Melayu; atau lebih tepat lagi, tunduk kepada UMNO. Malah timbul slogan 1Melayu 1Bumiputera dari kumpulan-kumpulan ultra Melayu yang kebanyakan anggota mereka adalah ahli UMNO juga.

Dilema perkauman

Dilema DAP dalam menghadapi politik perkauman dan politik mempergunakan agama yang diamalkan oleh UMNO serta disokong, sama ada secara rela atau tidak, oleh komponen-komponen BN seperti MCA dan MIC, masih berterusan sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu. Walau pun sudah ramai pemimpin DAP ditahan tanpa bicara, didakwa ke mahkamah atas tuduhan yang tidak kukuh serta diugut dan diancam, mereka tetap bertahan dan berpegang kepada prinsip kebenaran demi menegakkan demokrasi, kebebasan, keadilan dan peluang saksama untuk setiap warga Malaysia.

Selain Kit Siang yang sering dimangsakan oleh kerajaan Perikatan dan BN, anaknya Guan Eng juga turut merasakan derita dan perit berjuang dalam DAP. Bukan sahaja pernah berkongsi tahanan ISA bersama bapanya, beliau juga terpaksa merengkok di penjara selama setahun atas tuduhan membuat berita palsu berbubung isu seorang pemimpin UMNO yang didakwa menganiayai gadis bawah umur Melayu.

Ramai lagi yang menjadi mangsa penindasan UMNO dan BN seperti Fan Yew Teng, Chan Kok Kit, Chan Heng Kai P. Patto, V. David, M. Manoharan, V. Ganabatirau, Teresa Kok dan banyak lagi. Bukan sahaja ditekan, malah sentiasa dicaci dan dihina oleh golongan yang mengaku diri wira agama tetapi sanggup melakukan fitnah dan pembohongan.

Sejarah DAP adalah kisah penderitaan yang penuh dengan darah, keringat dan air mata. Memang ada beberapa kerat ahli dan pemimpin yang tidak tahan dengan perjuangan serta sanggup mengkhianati prinsip. Namun, rata-rata pemimpin dan ahli akar umbi DAP yakin bahawa perjuangan mereka adalah di atas landasan yang benar, perjuangan yang benar-benar mahu menjadikan Malaysia milik kita bersama. – Roketkini.com

 

*Rencana ini dipetik dan disesuaikan dari buku “Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP)” karya Wan Hamidi Hamid. Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama dengan harga RM15 senaskah.

Akan datang: Prinsip, ideologi dan jalan tengah Malaysia