Berita

Janji di Pengerang korban kepentingan rakyat

PENGERANG, 19 SEPTEMBER: Slogan ‘Janji Ditepati’ digunakan kerajaan UMNO-BN terhadap penduduk Pengerang untuk mengambil tanah milik rakyat atas nama pembangunan, dengan berjanji untuk membayar pampasan dengan mengambil kira ‘bangunan dan pokok pada setiap inci tanah’ yang akan diambil.

En Shahrani, 60 tahun yang telah lama menetap di Kampung Sungai Kapal mendakwa ini adalah janji yang diucapkan oleh pegawai dari Pejabat Tanah Kota Tinggi dalam satu taklimat yang diadakan pada 2 September lalu.

“Sehingga kini kami masih menantikan pelan yang sepatutnya ditunjukkan kepada penduduk; bagaimana tanah sebanyak 22 500 ekar ini yang akan diambil oleh kerajaan negeri Johor kononnya bagi tujuan pembangunan ini hendak diusahakan”, kata beliau ketika ditemubual.

“Walaupun begitu tiada mana-mana agensi yang terlibat berani tampil untuk memberikan penjelasan kepada penduduk Pengerang”.

Beliau juga meluahkan kerisauannya tentang bagaimana tanah pusaka yang dibayar dengan wang pampasan sebanyak RM 2.80 satu kaki persegi mahu diagihkan samarata dan bagaimana mereka hendak meneruskan kehidupan di kawasan baru yang bakal memerlukan lebih banyak wang ringgit.

Encik Shahrani menambah bahwa Pejabat Tanah Kota Tinggi juga telah membahagikan mereka kepada  tiga kategori pemilik tanah;

a)      Setuju : Pemilik tanah yang setuju tanah mereka diambil oleh pejabat tanah mereka akan dibayar ganti rugi dalam masa 14 hari.

b)      Setuju dan Bantah : Pemilik tanah yang setuju tanah mereka untuk diambil dan membantah ke atas bayaran yang diberikan.

c)      Tidak bersetuju : Pemilik tanah yang tidak bersetuju langsung tanah mereka diambil, tetapi mereka masih dipaksa mengisi Borang H iaitu borang notis tawaran pampasan.

En Shahrani berkata semasa sesi taklimat yang dibuat oleh Pejabat Tanah Kota Tinggi bersama penduduk kampung di Dewan Sungai Kapal, pegawai berkenaan berjanji bahawa mana-mana penduduk yang bersetuju tanah mereka diambil dengan bantahan, mereka akan dibayar 100% tetapi setelah dipersetujui pihak Pejabat Tanah hanya membayar sebanyak 75% daripada jumlah tersebut kepada pemilik tanah.

Sebagai anak jati Sungai Kapal, beliau kesal jika pengambilan tanah milik penduduk di Pengerang ini diteruskan, beliau percaya mereka yang bergantung hidup pada hasil bumi akan hilang punca pendapatan. Tambah beliau lagi, walaupun belum seratus peratus pengambilan tanah telah dibuat tetapi ramai penduduk di Pengerang sudah merasai kesan yang berlaku kepada kelangsungan hidup mereka.

Menyedari apa yang berlaku adalah bagi tujuan pembangunan, beliau secara peribadi tidak mempunyai sebarang halangan tetapi beliau cuma ingin rakyat diluar sana tahu bahawa mereka tidak mahu sehingga tanah pusaka mereka tergadai dek kerana mahukan pembangunan yang keuntungannya hanya untuk pihak-pihak tertentu. – Roketkini.com