Rencana

Gaza – Oleh Arjuna Dharmawijaya

Saat ini Tuhan sahaja yang mengerti kesedihan yang bergelinangan di sebalik wajah suram, ibu-ibu tua yang menatang anak-anak kecil. Mereka seakan berlari-lari kecil, sambil menyelusuri lorong-lorong berhabuk, diselirati bumbung-bumbung yang roboh membumi semata-mata untuk mengejar saat bernafas sedetik masa lagi. Bagi mereka, itulah kehidupan hari-hari. Mereka sudah tegal diburu anjing-anjing Zionis yang serakahkan titisan darah sang Palestin.

Maka, tiada apa lagi kekuatan yang ada untuk melawan – cuma saki-bakinya tinggal meneguk peluang untuk pulang ke rumah pada hari esok, menyambut anak-anak kecil yang menunggu hidangan untuk bersidang. Kawanan liar para Zionis terus merakus, menghidu setiap peluang menghujani bumi Gaza dengan dentuman bom-bom peluru.

Benar. Mungkin naluri manusia sendiri kekal dengan suasana yang rasional. Manusia mana di dalam dunia yang tidak bangkit melawan ketika menindas, mempertahankan hak dan maruah untuk hidup. Sedangkan itu, anak-anak mereka diludah-ludah dengan kecamuk suara-suara angkuh manusia Zionis.
Dendam yang berpilu dekad lamanya tidak mampu digentap lagi. Palestin bertahan. Sedetik direbah, seangkasa berteguh. Namun, kekuatan rohani sahaja tidak mampu membantu mereka kekal bertahan. Bertahun dicemuh dengan peluru-peluru liar, masakan lagi kekal berdiam.

Intifadah tahun 2000 menjadi saksi. Solidariti antara agama menanggung pesan untuk bangkit menentang. Muslim di Gaza, Kristian di Nablus, Yahudi di Jerusalem kini bertukar badan. Bagi mereka, satu adalah kita. Kita adalah satu.

Agama bukan lagi penghalang, tetapi membangun sebagai kuasa penghadapan menentang mustakbirin-mustakbirin Zionis yang pada agama mereka percaya – bagi mereka Islam dan sekufu agama-agama keamanan yang lain adalah musuh pada monsieur-monsieur mereka, Syaitan gila yang membenci Adam atas pilihan Tuhan di waktu azali.

Bunuh orang awam, gencatan senjata dan bakal dibunuh lagi

Saat aku mencoret butir-butir aksara ketika ini. Gaza tidak pernah berhenti dibuli. Kasihan mereka merayu-rayu masyarakat antarabangsa yang hanya mampu berdiam dan membisu. Namun, mereka tidak pernah serik untuk lari dari realiti dunia. Sejarah kekal sebagai pengingat abadi bahawa tanah-tanah mereka dulu dirampas, keluarga mereka disembelih dan agama mereka dipersetankan. Rasa-rasanya, jika ada peribahasa yang boleh dikimpal menjadi anekdot. Ia akan berbunyi, “ Seperti Gaza menghuni neraka”. Ini bererti penjara bagi segala penjara adalah Gaza, neraka yang seakan hidup segan mati tak mahu. Hari-hari mereka derita.

Aku percaya semua pasti kisah untuk tahu. Ramai sahaja  yang peka bahawa Gaza adalah wacana serius politik dunia, bukan lagi soal ceramah-ceramah yang diganggu Perkasa mahupun cerita drama sitkom Malaysia yang meloyakan dan memuntahkan.

Ramai gerangan masyarakat kita kini tersadar dalam lena. Seakan-akan Gaza baru isu semalam. Kisah sedih di Gaza ini bermusim, ada hujung ada surutnya. Kemudian, amuk. Entah daripada mana, semangat meracau pun datang. Tapi, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya, buruk-buruk kita pun – kita masih manusia. Kita ada belas pada kezaliman yang dilakukan Zionis terhadap umat Palestin. Kalaupun, caci-maki sahaja yang dapat dipertatahkan, anggaplah sahaja itu sebagian usaha kita membenci kezaliman. Bukan salah. Malah, jauh lebih baik daripada mereka yang memejam sebelah mata. Konon-konon atas dasar klise, mahu jadi berbeza. Itu manusia karut. Tidak mungkin, hal yang berkisar pada beban penindasan, mengatakan ianya arus perdana untuk kita sama berlaung mencemuhnya.

Benci, boikot atau solidariti kemanusiaan?

Baru-baru ini juga kita gempar dengan berita-berita pemberian burger percuma di Mcdonald’s seluruh Malaysia. Malah, dalam runut-runut suara yang menyeru supaya francais “Yahudi” ini diboikot. Ada pula yang mencebik mereka yang beratur panjang mendapatkan burger.

Sebenarnya, kita berlaku hipokrit terhadap diri kita. Bagi aku, soal Zionis bukan lagi soal benci-membenci siapa yang beratur mengutip burger percuma, tetapi ianya adalah pandangan kolektif semua yang menolak dan membenci kezaliman. Sekalipun, ada di antara kita yang memilih untuk mendapatkan burger percuma, mereka punya banyak alternatif lain untuk membantu Gaza.

Bukan sekadar memilih untuk memboikot sahaja, yang paling mutlak untuk menentang Zionis. Dan Zionisme itu adalah perkauman. Yang dibenci adalah ideologi perkauman dan rasisme yang menindas serta membunuh. Bukan benci semua insan Yahudi yang juga makhluk ciptaan Tuhan. Ini soal kesedaran semua. Setiap daripada bahagian diri kita harus menyatakan kegusaran pada isu kemanusiaan, tanpa memilih bulu siapa lebih Islamis mahupun Sosialis.

Kekal sahaja sebagai manusia yang punya nalar yang sama – iaitu perang dan kemusnahan tidak pernah selesaikan sebarang masalah. Jadi, isu Gaza ini isu semua. Kita tidak perlu rasa berbeza untuk menyatakan pendirian mengecam sekeras-keras pembunuhan yang ketika ini sedang terjadi di sebuah neraka bernama Gaza.

“Manusia seluruh dunia – Bersatulah”. Atas nama solidariti dan kemanusiaan, aku masih bersedih. – Roketkini.com