Berita

Tiada Lesen ‘Premis Maksiat’ baru dikeluarkan sejak 2008

SHAH ALAM, 22 NOVEMBER: Tidak ada sebarang lesen rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat siber diluluskan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sejak mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada Barisan Nasiona (BN) pada 2008.

Ahli Exco Kerajaan negeri, Ronnie Liu, berkata tuduhan sebilangan pemimpin UMNO-BN bahawa premis maksiat diluluskan kerajaan negeri ‘ibarat cendawan tumbuh’ adalah tidak benar sama sekali.

“Kebanyakan premis maksiat yang beroperasi sekarang adalah yang dilesenkan sebelum 2008 iaitu sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri daripada BN.

“Lesen premis itu masih boleh diperbaharui selagi ia tidak melanggar peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,  semalam.

Ronie Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata, lesen baru yang dikeluarkan hanya untuk pusat penjagaan kesihatan seperti refleksologi, aromaterapi, fisioterapi, spa dan sauna serta gymnasium.

Katanya, perkara itu termaktub dalam Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan.

Bagi aktiviti pusat hiburan pula, Liu menjelaskan bahawa lesen baru hanya dibenarkan untuk pusat istirehat dan pusat hiburan keluarga.

Tegasnya, premis berkenaan wajib mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidang atau menyediakan minuman keras kepada pelanggan.

“Antara premis yang dimaksudkan seperti pusat karaoke keluarga, kiosk karaoke, pusat sukan bowling, ‘fun fair’ dan pusat hiburan keluarga yang menyediakan beberapa bentuk hiburan seperti ‘kiddyride’ dan mesin simulator.”

Sejajar kepada pembangunan pesat dan pembukaan banyak pusat komersil baru di seluruh Selangor sejak 2008, sebanyak 179 lesen pusat penjagaan kesihatan, 1,278 lesen pusat hiburan keluarga dan istirehat serta 224 lesen hotel bajet dikeluarkan kerajaan negeri. – Roketkini.com