Berita

Mahukah rakyat Pulau Pinang dengan Ketua Menteri yang memperlekehkan Islam?

KUALA LUMPUR 7 DISEMBER: Kenyataan calon Ketua Menteri BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang memperlekehkan Islam pada satu majlis anjuran MCA telah menimbulkan tanda tanya dan kemarahan masyarakat Melayu dan Islam di negeri itu.

Ia sekaligus memberi mesej langsung kepada rakyat Pulau Pinang khususnya masyarakat Melayu samada mereka mahukan seorang Ketua Menteri yang berpendirian jumud dan ‘anti-Islam’.

Dalam laporan Roketkini semalam, Teng mempertikaikan tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengeluarkan peruntukan sehingga berkali-kali ganda kepada hal ehwal agama Islam dengan  mendakwa Pulau Pinang menuju ke arah Islamisasi.

Bagaimanapun bagi Setiausaha Politik kepda Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, kenyataan Teng itu jelas menunjukkan beliau memperlekehkan Islam sebagai agama persekutuan demi kepentingan politik sempit.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow kerana keberanian beliau mendedahkan belang perkaumannya pada satu majlis makan malam anjuran MCA di kawasan Bagan, Pulau Pinang, baru-baru ini,

“Rakyat Pulau Pinang khususnya masyarakat Melayu dan Islam harus bertanyakan sama ada mereka mahukan seorang Ketua Menteri yang jumud,” kata Zairil.

Zairil juga kesal dengan kenyataan Teng bagaimanapun tidak hairan kerana itu cuma satu kesinambungan propaganda jahat BN melaga-lagakan rakyat pelbagai kaum dan agama dengan memainkan isu sensitif.

Beliau bagaimanapun percaya bahawa rakyat sudah semakin celik dan tidak akan terumpan dengan taktik kotor dan tidak berprinsip itu.

Memuji langkah kerajaan negeri meninggikan syiar Islam di negeri itu, Zairil berkata, usaha meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam berkali-kali ganda adalah sesuatu yang baik dan harus disokong.

“Sejak mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang, kerajaan negeri Pakatan Rakyat meningkatkan peruntukan hal ehwal agama Islam daripada RM12.5 juta pada 2008 kepada RM64 juta pada 2012,

“Ini termasuk RM22.8 juta untuk pembesaran tanah kubur Islam di Jelutong di mana tanah milik masyarakat Cina diperoleh untuk tujuan berkenaan, pembelian tanah untuk Sekolah Agama Rakyat, peruntukan tambahan tahunan bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR), wang sumbangan tahunan dan pengiktirafan kepada guru KAFA dan huffaz serta program lain. Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga memperuntukkan tanah seluas 3.49 ekar bernilai RM36.5 juta bagi membina Kompleks Mahkamah Syariah baru setinggi tujuh tingkat.” ujarnya.

Katanya, semua usaha itu adalah komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengembangkan syiar Islam setanding agama persekutuan, tidak harus diputarbelitkan dan dijadikan isu perkauman sempit.

Kenyataan menghina dan memperlekehkan Islam bukan pertama kali dikeluarkan pemimpin MCA. Malah Presidennya, Chua Soi Lek pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya hudud dilaksanakan, ramai orang Islam akan mengganggur.

Walaupun DAP terus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, kenyataan Soi Lek itu jelas menghina Islam dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Bagaimanapun, sekutu baiknya UMNO terus membisu malah DAP pula dituduh anti-Islam. Ia dilihat sebagai satu propaganda jahat mereka memecahkan perpaduan antara kaum negara ini demi meraih sokongan politik.-Roketkini.com