Berita

Apa jadi siasatan akuan bersumpah kedua Bala?

KUALA LUMPUR, 8 MAC: DAP menggesa Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee untuk memaklumkan hasil siasatan terkini mereka terhadap akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Gesaan itu dibuat kerana Majlis Peguam sehingga kini masih berdiam diri sehingga menimbulkan banyak tanda tanya berhubung perkara itu dan ada peguam yang memfailkan usul untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat perkara itu.

Malah pada 4 Januari lalu, Lim Chee Wee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan untuk mengenalpasti identiti peguam berkenaan dan mempertimbangkan adakah mereka melakukan sebarang salah laku.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, berkata Chee Wee perlu memaklumkan jika pihak peguam akan meminta bantuan Bala sendiri memandangkan beliau sudah pulang ke Malaysia.

“Pada awalnya memang ada banyak “masalah” membabitkan bukti tetapi kini nampaknya ia bukan lagi isu,” katanya.

Tambah Gobind, kenyataan Lim Chee Wee sebelum memperakui perkara ini merupakan “perkara serius yang tiada keraguan lagi” dan beliau juga berkata bahawa Majlis Peguam akan mengikut tatacara proses “tanpa rasa takut atau memihak dan selaras dengan proses yang sewajarnya, “tanpa mengira personaliti atau keadaan”.

“Sudah berbulan perkara itu senyap. Kalau dibiar, kredibiliti Majlis Peguam dan presidennya boleh dipertikaikan.

“Oleh sebab itu kita harap Majlis Peguam dapat mengambil tindakan segera, memaklum dan mengemaskini tindakan susulan yang diambil,” kata Ahli Parlimen Puchong itu.

Akuan bersumpah Bala pertama yang ditandatangani pada 3 Julai 2008 antara lain mendedahkan hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Bala menarik balik akuan bersumpah pertamanya dengan menafikan semua kandungan yang dinyatakan sebelum ini.
Pada 4 Julai 2009 pula, Bala membuat akuan bersumpah kedua menafikan semua dakwaan dalam akuan pertama sebelum ini. – Roketkini.com