Berita

DAP menang di Gelang Patah dengan sedikit lagi undi Melayu, India

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai yakin DAP mampu memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah yang ditandingi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

“Kita boleh menang walaupun kawasan campuran kerana 85 hingga 90 peratus pengundi Cina dijangka memilih calon DAP dan Pakatan Rakyat (PR). Peningkatan undi orang Melayu kepada DAP khususnya akan memberi kemenangan yang lebih bermakna di Johor,” jelasnya.

Menurut beliau, populariti Lim Kit Siang yang mempunyai rekod baik mengetengahkan masalah rakyat di Parlimen adalah satu daripada sandaran kepada kemenangannya di Gelang Patah selain gelombang kebangkitan rakyat di seluruh Johor yang dapat dilihat menerusi program yang dianjurkan.

“Di Johor ini kita sudah rasa, bukan sahaja orang Cina mahukan perubahan tetapi juga orang Melayu dan India.

“Rakyat Johor beri kita sambutan begitu hangat yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana terlalu banyak masalah yang timbul dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN). Saya percaya, Gelang Patah dan Johor akan mencatat sejarah,” kata beliau ketika ditemui pada majlis perasmian Bilik Gerakan DAP Bukit Bintang, semalam.

Tambahnya, jika Lim Kit Siang mahu selamat, beliau boleh sahaja kekal di Ipoh Timur tetapi pada PRU-13 ini, beliau mengorbankan kawasan selamatnya kerana komitmen demi perubahan.

Mengulas mengenai pengguguran Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Ng Yen Yen daripada menjadi calon MCA di Raub pula, Tan yang juga penyandang Parlimen Cheras berkata menteri berkenaan telah gagal menunaikan tanggungjawabnya dengan baik.

“Prestasi dan reputasi beliau di Raub tidak memuaskan walaupun digugurkan menjadi calon, rakyat memang sudah lama tidak tahan dengan masalah yang berlaku seperti isu perlombongan menggunakan bahan kimia merbahaya sianida di Bukit Koman. Lagipun, DAP sudah lama memberi khidmat di kawasan itu,” kata Tan.

Tambah beliau, selain isu alam sekitar, peletakan Datuk Mohd Ariff Sabri sebagai calon mewakili DAP di situ dilihat mampu memberi saingan sengit kepada MCA memandangkan bekas pimpinan UMNO Pekan itu adalah calon yang berkelayakan dan berpengalaman.

“Kita berpeluang cerah menang di Raub,” ujar beliau.-Roketkini.com