Berita

Kit Siang pelawa Abdul Ghani jadikan Gelang Patah model pilihan raya bersih, bebas dan adil

GELANG PATAH, 18 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempelawa Menteri Besar Johor sementara, Datuk Seri Abdul Ghani Othman menjadikan pilihan raya di Gelang Patah sebagai model kepada pilihan raya bersih, bebas dan adil berbanding kawasan lain di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

Sehubungan itu beliau juga mengutup hebat tindakan tidak bertamadun dan berperikemanusiaan dua letupan di Marathon Boston, Amerika Syarikat yang menyebabkan tiga manhsa terbunuh dan kira-kira 30 orang awam cedera.

“Walaupun kejadian jenayah berlaku di Boston, rakyat Gelang Patah, Johor dan Malaysia, seperti semua rakyat di seluruh dunia, terkejut dengan kekejaman itu.

“Dunia menjadi satu perkampungan global dan apa yang berlaku dalam satu bahagian dunia menarik kebimbangan dan perhatian orang di negara lain di dunia, seperti dua letupan di Marathon Boston,” katanya dalam kenyataan selepas tinjauan mesra di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun semua pemimpin politik, sama ada BN atau PR mengutuk untuk mengutuk keganasan dan kekejaman Marathon Boston, tetapi rakyat Malaysia mahu menyaksikan PRU-13 berlangsung secara aman dan tidak berlaku pertumpahan darah seperti mana Arab Spring

“Rakyat Malaysia mahukan peralihan kuasa berlaku secara aman sebagaimana peralihan kuasa di Korea Selatan pada 1997, jika 13.3 juta pengundi memutuskan memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya menggantikan BN, selepas PRU-13, 5 Mei ini.

Kit Siang yang juga penyandang Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau menjemput Abdul Ghani menyertai beliau membuatkan Gelang Patah model pilihan raya bebas dan adil daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara yang dijangka tercemar dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

“Ghani dan saya perlu menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya Transparency International-Malaysia (EIP) dengan penubuhan Suruhanjaya Badan Pengawas EIP di Gelang Patah yang ditubuhkan rakyat Malaysia.

“Saya akan menunggu respons daripada Abdul Ghani mengenai pelawaan itu,” katanya.-Roketkini.com