Berita

DAP seru bukan Muslim kecam pembunuhan rakyat awam di Mesir

lau weng sanKUALA LUMPUR, 19 OGOS: DAP menyeru rakyat Malaysia bukan Muslim untuk turut sama mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang semakin berleluasa di Mesir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, atas nama kemanusiaan segala bentuk kekejaman dan kezaliman harus ditentang.

“Saya bukan Muslim tetapi sebagai seorang manusia yang waras, kekejaman tentera terhadap rakyat Mesir itu harus dikutuk kerana ini soal kemanusiaan.

“Peristiwa pembunuhan beramai-ramai juga pernah berlaku di China. Kita sebagai manusia yang ada naluri kemanusiaan sedih dengan peristiwa itu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Munajat Perdana Untuk Mesir di Padang Merbok, semalam.

Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor menyifatkan penggulingan Mohammed Morsi tidak wajar kerana ia membelakangkan keputusan yang dibuat rakyat Mesir melalui proses demokrasi.

Beliau turut mendesak masyarakat dunia tanpa mengira agama mengecam kekejaman tentera Mesir itu.

Weng San antara 5,000 rakyat yang hadir dalam himpunan yang turut disertai pelbagai kaum, selain warga asing dari pelbagai negara.

Perhimpunan itu juga disertai 25 NGO termasuk Tamil Foundation, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMA-BKHST), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan (NSCAH) dan Dewan Perhimpunan Bandar Cina Pulau Pinang (PGCTH). -Roketkini.com