Berita

Hukum NST kerana siar laporan sensasi tanpa asas – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Akhbar New Straits Times (NST) perlu dikenakan hukuman keras kerana bertindak bertentangan kepentingan negara dengan memperalatkan tragedi MH370 untuk melariskan jualannya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengecam akhbar itu kerana menerbitkan laporan palsu dan sensasi tanpa mempertimbangkan fakta dan perasaan keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang itu.

NST semalam menerbitkan laporan muka depan bertajuk “MH370’s desperate call for help”, dengan tajuk kecil “Investigators have revealed that co-pilot Fariq Abdul Rahman had made a call from his mobile phone as the plane flew low near Penang. Who he was trying to reach remains a mystery?

Laporan itu memetik sumber yang tidak dinamakan dan tidak menjelaskan bagaimana perkara itu dipastikan. Ia juga tidak menyatakan pihak yang mungkin dihubungi Fariq.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam telah menafikan laporan NST itu dan menegur mana-mana pihak yang mengambil peluang daripada tragedi MH370 untuk membuat laporan tidak berasas.

Menurut Guan Eng, teguran secara terbuka terhadap akhbar itu tidak memadai, apatah lagi laporan tidak berasas itu bukan sahaja boleh memberi kesan ke atas operasi pencarian, malah ahli keluarga krew dan penumpang pesawat itu.

“Kerajaan tidak boleh terlalu memberi muka dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap NST. Akhbar itu dimiliki dan dianggap sebagai lidah rasmi Umno dan kerajaan, laporan muka depan itu telah menarik perhatian seluruh dunia.

“Dunia sedang memerhati sama ada kerajaan berani bertindak tanpa takut dan pilih kasih ke atas penipuan terang-terangan itu. Kegagalan bertindak akan menyebabkan saki-baki reputasi negara terus terhakis,” tegasnya lagi.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kejadian MH370 dan penculikan warga China di Semporna menyebabkan pelancong dan pelabur China memboikot Malaysia.

“Pulau Pinang tidak terkecuali apabila 50% pelancong dari China membatalkan lawatan mereka dan sebuah pesawat China mengurangkan kekerapan penerbangan ke Pulau Pinang daripada tujuh penerbangan seminggu kepada empat penerbangan seminggu,” jelas Guan Eng. -Roketkini.com