Berita

Pemimpin MCA digesa segera mohon maaf kerana diskriminasi wanita

SENAI, 15 APR: DAP menggesa EXCO Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor Tee Siew Kiong segera meminta maaf kepada wanita Malaysia dan menarik balik kenyataan diskriminasi beliau terhadap kaum wanita.

Agensi berita Bernama pada 10 Januari lalu melaporkan kenyataan beliau yang boleh dianggap sebagai seksis apabila menyatakan “If they cannot resolve petty family issues, how are they going to settle the problems of the people and country?” (Jika mereka tidak mampu menyelesaikan isu-isu keluarga, bagaimana mereka hendak menyelesaikan masalah rakyat dan negara?)

Empat orang Adun Wanita Johor Wong Shu Qi (Senai), Liow Chai Tung (Johor Jaya), Gan Peck Cheng (Pengaram), dan Chew Peck Choo (Yong Peng) mengecam kenyataan Siew Kiong itu dalam kenyataan bersama mereka.

Mereka menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi MCA Johor itu sebagai tidak memahami norma-norma kesaksamaan gender serta isu dasar yang melibatkan isu penjagaan kanak-kanak yang dibangkitkan oleh lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen.

Bawa anak ke Parlimen langkah simbolik

Siew Kiong dalam kenyataan beliau menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, diketuai Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching, yang membawa bayi mereka ke Parlimen sebagai langkah simbolik menuntut kerajaan menambahkan pusat jagaan anak di sektor awam dan swasta yang terlalu sedikit jumlahnya pada masa ini.

Berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hanya 80 pusat asuhan kanak-kanak diwujudkan pada 2012 dan jumlahnya hanya meningkat kepada 99 buah pada 2013 berbanding 1,378 agensi kerajaan di seluruh Malaysia.

Sewaktu di parlimen, Teo Nie Ching menyatakan bahawa pusat asuhan kanak-kanak merupakan faktor penting bagi membolehkan wanita meneruskan kerjaya profesional mereka di samping memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.

Wanita faktor penyumbang ekonomi

Adun Senai Wong Shu Qi dalam kenyataan balas terhadap Siew Kiong menyebut tentang laporan The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun 2012 yang mendedahkan bahawa kebanyakan wanita di negara-negara maju berhenti bekerja selepas berkahwin atau sesudah mempunyai anak.

Laporan itu juga menyebut tentang penyertaan buruh wanita di Malaysia yang berada hanya pada kadar 46%.

“Pihak berkuasa tidak mengambil tenaga kerja muda yang berpendidikan walaupun kita ada lebih banyak pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi berbanding pelajar lelaki,” ujar Shu Qi Wong yang juga Ketua Biro Polisi DAP Johor.

“Saya tidak rasa Datuk Tee Siew Kiong pernah mendengar tentang ‘Abenomics’ yang disebut oleh Shinzo Abe, Mantan Perdana Menteri Jepun, yang pada asasnya mengakui bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja akhirnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” tambah beliau lagi.

Adun Pengaram Gan Peck Cheng turut menempelak Tee Siew Kiong yang dianggap tidak memahami hubungkait antara perangkap pendapatan sederhana dengan kadar penyertaan buruh wanita dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta. – Roketkini.com