Berita

Kit Siang ketuai lawatan Pakatan Rakyat ke Esscom hari ini

KUALA LUMPUR, 15 APR: Pakatan Rakyat, diketuai oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, akan melawat Semporna, Sabah, hari ini dalam misi pencarian fakta untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan di bahagian timur negeri itu, terutama kawasan yang termasuk dalam Pusat Kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)

Misi itu turut disertai Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phing, Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong Tien Fatt dan Ahli Parlimen PKR Lumut Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid.

Kit Siang dalam kenyataan hari ini berkata, lawatan itu akan memberi tumpuan kepada soal keberkesanan Esscom dalam meningkatkan keselamatan di sana.

“Apakah Esscom ‘harimau tanpa taring’ dan hanya projek ‘gajah putih’ sahaja? Patutkah ia dibubarkan sahaja kerana tidak menyumbang apa-apa kepada keselamatan di Sabah?”

“Ketika di Parlimen Khamis lalu, saya menggesa Kabinet memberikan kuasa eksekutif kepada Pengarah Esscom (Datuk Mohammad Mentek), bukan sekadar kuasa penyelarasan yang tidak ubah seperti posmen di antara empat komponen Esscom dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszon).

Menurut Kit Siang, lawatan Pakatan Rakyat itu juga bertujuan untuk melihat sama ada Esscom boleh dilaksanakan dan meninjau penyelesaian terbaik bagi permasalahan Esscom.

Ketua Komunikasi Korporat Essom Newmond Tibin sebelum ini mengakui badan itu tidak memiliki sebarang kuasa di Pantai Timur Sabah, sebaliknya hanya boleh menyelaraskan pelbagai agensi di sana.

Esscom yang ditubuhkan ekoran insiden pencerobohan di Lahad Datu dilihat gagal menangani masalah keselamatan di negeri itu apabila sekumpulan bersenjata menculik seorang warga China dan seorang pekerja Filipina di Singamata Reef Resort, Semporna 2 April lalu – insiden ketiga seumpama itu sejak tahun lalu.

Dewan Rakyat minggu lalu bersetuju untuk membahaskan usul tergempar mengenai penambahbaikan Essom yang dibawa Stephen.

“Ahli Parlimen sama ada daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) sepakat tidak mahu badan itu menjadi ‘lawak April Fool’ paling mahal yang menghabiskan lebih RM300 juta namun tidak dapat memainkan peranan berkesan,” katanya merujuk kepada ulangtahun pertama Esscom pada 1 April lalu, 24 jam sebelum penculikan berlaku.

“Ketika perbahasan, bukan sahaja Ahli Parlimen Pakatan yang menggesa pembaharuan Esscom, Ahli Parlimen BN seperti Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) juga mendesak pembubarannya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. – Roketkini.com