Berita

Isu ‘Allah’ dan rampasan Bible: Putrajaya menang, Pakatan kecundang?

KUALA LUMPUR, 16 APR: Kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi sasaran utama setelah isu rampasan Bible awal tahun ini berakhir dengan perpindahan Bible Society of Malaysia (BSM) dari Selangor ke Kuala Lumpur.

Perpindahan tersebut dikatakan adalah demi mengelak daripada cengkaman Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Memberi justifikasi perpindahan BSM ke Kuala Lumpur, presidennya Lee Min Choon berkata, “Putrajaya menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada agama minoriti,” yang dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo ketika mengulas hal tersebut mengecam kepimpinan Khalid Ibrahim yang disifatkannya gagal menangani masalah yang memerlukan keberanian politik.

“Menteri Besar telah mempamerkan sikap tidak peduli dan tiada kekuatan politik untuk menangani isu ini,

“Ia telah mengakibatkan hilangnya keyakinan bukan sahaja penganut Kristian tetapi ramai lagi rakyat Malaysia terhadap kepimpinannya di Selangor,” jelas Gobind.

Menurut Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP, kegagalan Khalid tersebut menimbulkan persoalan sama ada Khalid masih sesuai secara politik untuk kekal sebagai menteri besar.

Katanya lagi, situasi begini boleh merugikan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang dan menjadi asas kepada kerunsingan ramai pihak tentang kepimpinan Khalid di Selangor.

Kegagalan Khalid menangani isu rampasan Bible dilihat sebagai pengkhianatan kepada Pakatan Rakyat yang telah pun berjanji untuk memastikan hak kumpulan minoriti terjaga dalam masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Awal Januari tahun ini, pegawai penguatkuasa JAIS telah menyerbu premis BSM di Petaling Jaya dan merampas sejumlah Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Insiden tersebut adalah rentetan daripada polemik isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan-Islam di bawah Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988.

Namun EXCO Hal Ehwal Islam Sallehin Mukhyi menjelaskan kepada Dewan Negeri Selangor semalam bahawa menurut enakmen berkenaan, orang bukan-Islam di Selangor dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ selagi bukan dengan tujuan menyebarkan agama lain kepada orang Islam. – Roketkini.com