Berita

Majlis makan malam Impian Malaysia berjaya kumpul dana RM600 ribu dalam masa singkat

GEORGE TOWN, 24 APR: Kesemua tiket bagi 300 meja untuk majlis makan malam mengumpul dana Impian Malaysia di Pusat Konvensyen Antrabangsa Pulau Pinang (SPICE) telah habis terjual sejak pemergian tokoh DAP, mendiang Karpal Singh.

Sebagai penghargaan dan bagi menggantikan slot ucapan yang telah dijadualkan untuk mendiang, DAP Pulau Pinang akan mengadakan satu sesi penghargaan khas untuk beliau dalam majlis tersebut, Sabtu ini.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, sesi itu adalah untuk mengenang dan memberi penghormatan kepada Karpal yang telah banyak berjasa dalam perjuangan demokrasi negara.

“Sebelum ini memang Karpal dijadualkan untuk berucap sebagai penceramah utama, tapi malangnya tragedi telah menimpa beliau.

“Jadi daripada menukar slot Karpal kepada orang lain, kami memilih untuk merakamkan satu slot penghargaan untuknya,” kata Zairil yang juga pengerusi penganjur majlis makan malam itu ketika dihubungi Roketkini.

“Kami menyasarkan untuk mengumpul RM600 ribu yang kemudiannya akan digunakan untuk membantu membangunkan insfrastruktur di Sabah dan Sarawak, tapi tidak menyangka ia dengan serta-merta berjaya dicapai serta habis dijual beberapa jam selepas Karpal meninggal.

“Ini pada saya jelas menunjukkan betapa rakyat simpati dan amat menghargai sumbangan besar Karpal selama ini,” ujarnya.

Antara pimpinan utama yang akan hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Kepada orang ramai yang tidak berkesempatan, kami memohon ribuan maaf. Namun mereka masih boleh melayarinya secara langsung Sabtu ini di Ubah.TV, bermula jam 7.30 malam,” katanya. – Roketkini.com