Berita

Hudud: ‘Tidak perlu ulang, semua tahu pendirian DAP’ – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 29 APR: DAP tidak akan menjelaskan semula tentang kebaikan dan keburukan pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia sudah dibincangkan sejak isu itu mula timbul dahulu.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian DAP konsisten menolak undang-undang itu dengan sebab-sebab yang sudah jelas kepada semua pihak.

“Kita tegas dengan pendirian kolektif kita bahawa tidak akan menerima undang-undang hudud, atas hujah perundangan dan perlembagaan. Kita sudah jelaskan perkara ini sejak dulu lagi.

“Pelaksanaannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, ia bukanlah dasar bersama Pakatan Rakyat, kerana hudud bukan agenda ketiga-tiga parti komponennya,” katanya kepada Roketkini.

“Ini adalah pendirian DAP dan tidak akan berubah. Semua orang tahu dan tidak perlu lagi diulang-ulang,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan itu lagi.

Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan pada tahun 2011 menyatakan iltizam untuk mempertahankan dasar bersama seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Buku Jingga.

Ia juga menegaskan objektif utama Pakatan untuk membina kembali asas kenegaraan yang rosak di bawah pemerintahan Umno-BN seperti tadbir urus dan sistem kehakiman.

Anthony Loke memaklumkan bahawa DAP kini dalam proses perbincangan bersama-sama PAS bagi mencari penyelesaian dalam isu yang timbul, namun enggan mengulas lanjut berhubung soal itu.

Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rancangan PAS untuk melaksanakan hudud bakal dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. – Roketkini.com