Rencana

Pakatan Rakyat kena fokus masalah rakyat, bukan hudud – Gobok Lama

Akhir-akhir ni kawan tengok di dada-dada akhbar, siang dan malam main isu Hudud. Kawan boleh faham isu ini pada PAS sebagai sebahagian daripada ideologinya, tapi yang kawan nak cakap ni tentang rakyat yang tengah bergelut dengan masalah ekonomi, sistem urustadbir yang tak telus, korup dan suasana kehidupan yang tak menentu.

Di Selangor, isu air hingga kini keadaan masih tak menentu. Di Kelantan isu pembalakan yang tak terkawal masih terus berlaku. Di Kedah juga, ramai penoreh getah mengeluh kerana harga getah merudum hingga membuatkan semua rakyat yang terlibat hidup susah.

Di Johor, masalah juga kronik dengan isu penambakan laut yang tak ikut peraturan, malah projek yang tak ada dalam perancangan tapi tiba-tiba muncul.

Setinggan-setinggan di bandar Johor juga perlukan pembelaan. Masalah sistem perparitan, kumbahan, sampah, pengangkutan awam yang semua ini kita wajib ambil masa untuk fikirkan dan buat sesuatu.

Itu belum masuk masalah kos sara hidup yang semakin hari semakin menekan hidup rakyat. Dasar BN nampaknya tak menjadi, malah semakin menyusahkan rakyat. Itu belum laksana GST lagi tu. Kalau dilaksanakan, entah macam manalah susah kehidupan kita. Silap-silap inflasi naik tinggi.

Ada yang dakwa harga kelapa sawit dah naik kembali selepas PRU13, tapi hanya naik setakat RM500 lebih berbanding tahun-tahun 90an yang pernah cecah RM700-800 satu tan metrik.

Kalau dulu harganya tinggi dengan kos sara hidup zaman tu, bolehlah rasa nilai wang itu. Tapi kini dah la harganya jauh lebih rendah dari era itu ditambah pula dengan kos sara hidup yang makin tinggi. Ini semua berpunca dari dasar BN yang huru-hara.

Tapi segelintir kita sibuk dengan isu-isu perbezaan ideologi. Pada masa yang sama kita sedang terkial-kial nak atasi masalah ekonomi. Sepatutnya, masa inilah kita nak fokus dan kerja betul-betul, kita kena tunjuk pada rakyat yang dasar kita boleh dilaksanakan di negeri-negeri PR, bukan setakat boleh laksana tapi jauh lebih baik untuk tolong ringankan beban rakyat.

Kawan terfikir juga, hal ekonomi rakyat yang kita perjuangkan ini pun satu ibadah juga. Bukanlah hal dunia semata-mata. Kalau kerajaan dan pemimpin tu amanah dan adil, sistem pentadbirannya betul dan telus, itulah puncak yang kita impikan. – Roketkini.com