Berita

Ribuan tetamu hadir ke majlis memperingati Karpal di Johor

JOHOR BAHRU, 30 APR: Walaupun telah lebih sepuluh hari Karpal Singh meninggal dunia, beliau terus dikenang oleh ribuan tetamu yang menghadiri majlis khas Memperingati Karpal Singh di Bangunan PKK, Sutera Utama, Johor Bahru, kelmarin.

Majlis yang dianjurkan oleh DAP negeri Johor itu diadakan untuk memperingati mendiang serta membolehkan rakan-rakan dan penyokong memberi penghormatan kepada bekas Pengerusi DAP ini.

Dalam ucapannya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan Karpal Singh seorang rakan yang setia serta seorang ahli politik yang tidak pernah merasa takut menghadapi musuh-musuh politiknya.

“Selepas saya dibebaskan dari ISA kali yang pertama, saya mengenali beliau dan beliau terus menyertai DAP, sejak itu beliau tidak pernah berputus asa berjuang membela rakyat,” ujar Kit Siang yang juga rakan mendiang yang lebih empat puluh tahun berjuang bersamanya.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula memaklumkan bahawa selepas PRK Bukit Gelugor kelak, majlis memperingati Karpal Singh akan diteruskan di kawasan-kawasan lain di negeri Johor sebagai mengenang jasa beliau kepada parti dan rakyat.

Dalam majlis tersebut, wakil-wakil masyarakat dan parti politik PAS dan PKR turut sama hadir dengan berkongsi kesedihan dan berucap memberi kata-kata semangat kepada para penyokong Karpal.

Anak mendiang, Gobind Singh Deo, turut sama hadir mewakili keluarganya. Dalam ucapan beliau, Gobind menganggap pemergian Karpal Singh akan melahirkan lebih ramai Karpal Singh yang baru.

“Semangat juang beliau itu kekal di hati kita untuk kita teruskan perjuangan bersama-sama,” ujar Gobind.

Selain dari ucapan rakan-rakan dan pemimpin DAP, majlis pada hari tersebut turut menampilkan dua persembahan muzik yang didendangkan oleh penyanyi Soprano Saudari Ang Mei dengan lagu bertajuk “Nella Fantasia” dan kemudiannya berduet bersama pemain piano Saudari Fam Qing Rui dengan lagu “Hand In Hand”.

Sasterawan Negara Pak A.Samad Said turut hadir dengan bacaan puisinya yang berjudul “Eligi Seorang Pemberani”.
Ribuan rakyat yang hadir pada majlis tersebut beratur panjang untuk memberikan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan kepada mendiang.

Majlis tersebut turut menyediakan sebuah ruang pameran yang memaparkan foto-foto penting mendiang Karpal sepanjang penglibatan beliau dalam dunia politik Malaysia.

Karpal Singh meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya pada 17 April di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantunya Micheal Cornelius. – Roketkini.com