Berita

Langat 2 bukan penyelesaian krisis air Selangor

PETALING JAYA, 30 APR: Banyak pihak menyalahkan kerajaan Selangor kerana melengah-lengahkan kelulusan pembinaan Langat 2 sehingga menimbulkan krisis air.

Terbaru Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam tulisan beliau bertajuk ‘Who is to be blamed for Selangor Water Woes,” dalam The Star, semalam, turut mengungkit perkara yang sama dengan menyebut bahawa jika kerajaan Pakatan Rakyat bersetuju dengan pembinaan Langat 2 pada tahun 2009, krisis air di Selangor tidak mungkin akan berlaku.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin, Selangor tidak mungkin dapat menghindari krisis air yang berlaku pada tahun ini walaupun jika kerajaan negeri meluluskan projek Langat 2 sejak awal.

“Saya mahu ingatkan Khairy bahawa kalau kerajaan Selangor meluluskan projek Langat 2, paling awal pun loji tersebut boleh berfungsi ialah tahun 2015. Bagaimana perkara itu boleh menyelesaikan krisis air sekarang?

Beliau juga menyelar Khairy kerana mengabaikan fakta bahawa rangkaian saliran air di Lembah Klang tidak bersambung dengan baik, dengan itu sekalipun Langat 2 wujud, ia mungkin tidak membantu mengatasi masalah air di kawasan yang terjejas kini.

“Sekarang ini, masalah terbesar kita ialah kekurangan air di Sungai Selangor, yang membekalkan 60% air untuk Lembah Klang. Langat 2 secara geografinya jauh sekali dengan Sungai Selangor.

Dengan grid air yang begitu caca marba sekarang, kalau pun Langat 2 siap sepenuhnya sekarang, Syabas tidak akan mampu untuk menyalurkan air kepada pengguna yang terkesan dengan kekurangan air di Sungai Selangor,” ujar Bee Yin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor. -Roketkini.com