Berita

Pakatan Rakyat harus utamakan agenda bersama – Anthony Loke

23 Jun 2014, KULAIJAYA – ‘Politik Baru’ yang diperjuangkan oleh gerakan Islam di Malaysia seharusnya lebih menumpukan kepada agenda bersama yang dapat difahami dan boleh diterima oleh semua lapisan kaum sebagai satu objektif yang jelas dalam mendepani cabaran sebenar masa kini.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat Anthony Loke dalam seminar “Islam dan Demokrasi” anjuran NGO Wadah di sini, kelmarin.

Menurut beliau, agenda bersama yang dimaksudkan adalah agenda berkaitan kenegaraan yang merangkumi sistem tadbir urus yang cekap, bersih dan adil buat rakyat.

“Matlamat kita untuk pastikan dasar dan agihan kekayaan negara diagih secara adil, tiada rasuah dan salahguna kuasa. Semua ini menepati dengan nilai-nilai Islam iaitu untuk membela golongan miskin dan memberi keadilan kepada mereka,” ujar Loke.

Beliau juga berpandangan bahawa agenda bersama Pakatan untuk meningkatkan sistem pilihanraya selari dengan nilai Islam.

“Dalam Islam, nilai-nilai keadilan dan kejujuran itu amat dititikberatkan. Maka sistem pilihanraya kita mesti direformasikan.

“Begitu juga dengan sistem kehakiman dalam negara kita, Islam sentiasa memastikan hakim itu adil, bukan hakim yang mudah dibeli oleh penguasa. Perjuangan agenda ini adalah selaras dengan prinsip Islam,” tambah beliau.

Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk “Perspektif Bukan Islam Terhadap Idea dan Pendekatan Islam dan Demokrasi Malaysia” itu Anthony Loke menyatakan kebanyakan orang bukan-Muslim tidak memahami konsep-konsep Islam seperti “politik Islam” atau “ekonomi Islam”.

“Kebanyakan orang Cina biasa hanya tahu Islam sebagai tak boleh minum arak atau tak boleh berjudi, tak boleh makan babi dan boleh kahwin lebih dari satu, itu sahaja. Konsep-konsep politik Islam atau Ekonomi Islam mereka tak fahami dan bagi mereka hal itu sebagai perkara yang sangat kompleks untuk difahami,” ujar beliau.

Menurut Anthony lagi, keadaan bertambah buruk dengan kenyataan-kenyataan daripada Isma dan Perkasa yang langsung tidak memberi kefahaman kepada bukan-Muslim mengenai Islam itu sendiri.

Seminar ‘Islam dan Demokrasi’ dirasmikan oleh Presiden Wadah Dato’ Dr Siddiq Fadhil.

Turut membentangkan kertas kerja adalah Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Idris Jauzi dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki. -Roketkini.com