Rencana

Menteri Besar wanita pertama di Malaysia lanjutan sejarah kepimpinan perempuan di nusantara

Baru-baru ini kecoh di pihak UMNO mahu pun Pakatan Rakyat sendiri tentang masa depan negeri Selangor, atau lebih tepat tentang pemilihan Menteri Besar Selangor. Calon yang disebut-sebut ialah seorang wanita, isteri kepada ikon politik dan ibu yang berjiwa besar – Wan Azizah.

Topik ini telah menarik reaksi banyak pihak, termasuk peguam UMNO dan Khairy Jamaluddin. Terpacullah dalil-dalil seperti wanita tidak layak menjadi pemimpin dari segi “biologinya,” “haid,” “negeri beraja Melayu,” “kerusi PKR paling sedikit di Selangor” dan sebagainya. Di sini, dapat kita lihat skrip yang sama diulang-ulang untuk merendahkan keupayaan wanita, sekaligus menidakkan sejarah perempuan sebagai pemimpin!

Gambaran umum yang didapati tentang imej dan identiti perempuan Melayu adalah lemah, perlu pembelaan, pasif, boneka dan lain-lain lagi. Mereka ini terkongkong dalam pemikiran patriarki yang menganggap perempuan Melayu lemah dan terkebelakang. Sejarah yang dihadapkan kita pada hari ini sering mengesampingkan perempuan (biased process), terpilih (selective), serta dipengaruhi kepentingan dan persepsi individu. Malah proses penciptaan sejarah juga telah membunuh watak perempuan, seperti yang sedang berlaku kepada Wan Azizah.

Tidak banyak orang mengetahui, Alam Melayu telah mengamalkan matrilineal seawal abad ke-2 melalui peranan Ratu Soma. Begitu juga kerajaan Campa abad ke-7 dan di Sambhupura yang menyaksikan kepimpinan oleh tiga raja perempuan berturutan – garis keturunan yang bermula sekurang-kurangnya pada 740M, dengan raja perempuan terakhir ditabalkan pada 803M. Semua ini tidak lain menunjukkan hubungan penting melalui perempuan 1. Pada abad ke-8, di Angkor pula terakam pemerintahan Ratu Jayadevi, pada tahun 713 – menjadikannya satu-satu Ratu yang absah dalam sejarah Khmer.

Melalui Nagarakertagama, dapat kita lihat representasi perempuan dalam masyarakat dan status sosialnya. Dalam kerajaan Janggala, jabatan tertinggi sesudah raja ialah Rakryan Mahamantri Hino. Sejak tahun 1021 sampai 1035, jabatan ini dipegang oleh Sri Sanggramawijaya Dharmaprasada Uttunga Dewi iaitu puteri Raja Erlangga. Bukan itu sahaja, dalam kerajaan Singasari, Puteri Gayatri bertindak sebagai penasihat utama dalam pemerintahan 2. Adik Dyah Hayam Wuruk, iaitu Sri Surawardhani, juga didapati memerintah Pawanuhan. Anak perempuan Raja Hayam Wuruk iaitu Kusumavardhani (Prabu Stri Bhra lasem-san-Ahayu) menggantikan ayahnya dan menjadi pemerintah Majapahit pada 1389.

Pada abad ke-15, sejarah mencatatkan bahawa Ratu Suhita menggantikan ayahnya, Raja Vikramavardhanavijaya pada 1429. Selain itu, Ratu Kalinyamat, tokoh perempuan yang penting pada abad ke-16, berjaya menunjukkan kepimpinannya selama 30 tahun di Jepara sebagai seorang yang cantik, kaya berkuasa, berani, cerdas dan bijaksana dalam membuat keputusan. Terdapat juga watak Ratu Malang (Ratu Wetan) dalam Babad Tanah Jawi yang memberi pengaruh yang besar dalam politik, sosial dan psikologi Sunan Amangkurat I.

Sama seperti abad-awal terawal, perempuan diberi peranan khas dan tidak dihadkan dalam ruang domestik sahaja. Perempuan mendapat tempat yang tertinggi sehingga boleh menjadi pemerintah dan penguasa ekonomi.

Ternyata pengaruh yang dibawa “Ratu”, “perempuan” mampu menentukan jalan hidup seorang pemimpin. Hal ini telah terbukti pada zaman Singhasari (Ken Arok-Ken Dedes), zaman Majapahit (Hayam Wuruk-Diah Pitaloka), zaman Pajang (Hadiwijaya-Ratu Kalimanyat) dan zaman Mataram Islam.

Dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Panji Semirang pula kepercayaan cuba diberikan oleh pengarang pada watak perempuan seperti Wan Empuk dan Wan Malini. Begitu juga Tun Teja yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah berani menegur hal-ehwal pemerintahan suaminya:

“…itulah duli tuanku tiada periksa dan tiada mahu mendengar sembah Laksamana menteri tua.”

Tidak cukup dengan itu, pada abad 17 banyak direkodkan pemerintah perempuan di Jambi, Solor, Aceh dan lain-lain. Mengambil contoh di Aceh, sejarah kegemilangan Aceh telah melahirkan perempuan perkasa seperti Seri Ratu Safiatudin Seri Ta’jul Alam Syah, Sultanah pertama yang amat cekap, puteri kepada Sultan Iskandar Muda dan Isteri kepada Sultan Iskandar Thani.

Kita diberitahu kononnya pemerintahan perempuan di kerajaan Aceh ini terhenti kerana datang fatwa daripada Mufti Besar Mekah yang menyatakan keberatannya akan seorang perempuan menjadi Sultanah, lalu berakhirlah zaman kejayaan perempuan di Aceh. Namun, yang sebenarnya terjadi ialah pemerintahan oleh perempuan terhalang kerana muncul tekanan daripada rasa tidak puas hati dalam bentuk ekonomi dan perdagangan akibat pemerintahan sultan Iskandar Muda (seorang lelaki) terdahulu.

Sejarah Aceh jelas menunjukkan bahawa setelah pemerintahan bertukar ke tangan perempuan, struktur pemerintahan berubah menjadi lebih baik. Di bawah pemerintahan perempuan, “tiga sagi Aceh Besar”, iaitu unsur paling penting dalam struktur politik pada abad 18 dan 19, telah diperkenalkan. Mereka ini berupaya menyelesaikan pertentangan penganut Wahdatul Wujud dan Wahdatul Syuhud yang hampir meruntuhkan sendi negara, membentuk pemerintahan Sago di Aceh Besar. Malah pada pemerintahan Sultanah ke-3, datang utusan Sharif Mekah yang melihat pemerintahan Raja Perempuan baik dan soleh.

Perempuan pada abad-abad awal seperti terakam dalam sejarah merupakan pemimpin-pemimpin negeri. Selain nama-nama yang telah disebut di atas, kita pernah mendengar nama Puteri Syahrul Bariyah, Tun Kudu, Tun Teja, Tun Fatimah, Puteri Gemerenchang, dan Radin Galuh Cendera Kirana yang masing-masing memainkan peranan dalam memakmurkan negeri. Hal ini jelas dalam Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sejarah Melayu, Nagarakertagama, Babad Jawi, Pararaton dan teks sejarah lainnya.

Kebolehan dan kebijaksanaan Raja Perempuan tidak dapat dipadam dari sejarah. Usaha inilah yang kiranya cuba dibuat oleh pemimpin UMNO yang hanya menempatkan perempuan sebagai kader-kader politik di peringkat bawahan. Perempuan dijadikan sebagai alat untuk mencapai maksud pemimpin atasan dan akhirnya mereka ini hanya diberi pengiktirafan dalam bentuk pujian “tulang belakang” parti dalam Perhimpunan Agung UMNO.

Sejarah Melayu jelas sekali menyangkal dakwaan beberapa pihak yang mengatakan perempuan tidak layak memimpin, sedang pada hakikatnya kita sedia maklum sejarah moden Malaysia telah membuktikan UMNO-lah yang tidak layak memimpin bukan sahaja negeri tetapi negara ini.

Malaysia amat memerlukan pemimpin perempuan. Ini bukan sekadar tuntutan sejarah, tetapi juga meneladani negara-negara moden lainnya yang telah meletakkan Perdana Menteri Wanita dan mencapai bilangan ahli politik dalam parlimen melebihi 30 peratus (melebihi sasaran minima kuota Malaysia).

Masyarakat Melayu umumnya mengangkat kepentingan kolektif daripada individual. Antara kepentingan kolektif yang dimaksudkan itu bersifat kesalingan antara lelaki dan perempuan. Perempuan dan lelaki mampu hidup secara harmoni dalam masyarakat. Masyarakat Melayu tidak sewenangnya mencipta sistem hierarki yang berasaskan biologi atau seks. Ini jelas sekali berlawanan dengan pegangan UMNO yang meletakkan faktor biologi untuk menyingkir Wan Azizah. Bukan sahaja UMNO sekali lagi cuba membodohkan rakyat, membutakan mereka dengan sejarah yang direka-reka, merendahkan kebolehan wanita, dan malah membelakangkan budaya Melayu yang didakwa dijunjung selama ini.

—–
1. Rujuk inskripsi K.53, K.1, K.38, K.49, K.115, K.762, K.582, K.1142, K.124 dalam G. Coedes (1966), Inscriptions du Cambodge, vol I – VII.

2. Rujuk pupuh 2-6 Nagarakertagama, Pararaton dan Panji Wijayakrama.