Berita

MB Johor digesa jelas maklumat akaun yayasan PBT

KLUANG, 15 JUL: Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin digesa menjelaskan maklumat akaun yayasan-yayasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kepada orang ramai untuk tujuan ketelusan dan kebertanggungjawapan pentadbiran.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, ini kerana sumber dana yayasan bukan sahaja diperoleh daripada hasil PBT tertentu, tetapi daripada sumbangan orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat korporat.

Berdasarkan kenyataan Khaled pada 28 Jun, dilaporkan satu peratus daripada jumlah pendapatan 15 PBT dicarumkan kepada yayasan PBT masing-masing.

“Caruman tersebut dikendalikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (EXCO Johor) di mana dikatakan akan digunakan untuk tujuan kebajikan dan ‘meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat’.

“Oleh kerana caruman terdiri daripada hasil cukai rakyat Johor, atas dasar akauntabiliti saya menyeru Menteri Besar mengumumkan secara terperinci maklumat mengenai caruman ini, khususnya staf upahan, butir-butiran dan kegunaan yayasan-yayasan,” kata Chin Tong dalam kenyataan.

Chin Tong merujuk kenyataan rasmi Majlis Perbandaran Kluang (MPK) pada 6 Julai 2014 bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor memutuskan Bazar Ramadhan Kluang dikendalikan Md Jais Sardi, Pengerusi Yayasan Perbandaran Kluang (YPK).

Namun, dalam lawatan Chin Tong di Bazar Ramadhan Taman Makmur, Kluang beliau diberitahu bahawa penjaja hanya membayar RM200 sebagai sewa satu tapak untuk sumbangan bubur lambok kepada 10,000 penduduk tempatan.

Sebaliknya, YBK mengenakan bayaran RM1,700 terhadap penjaja Bazar Ramadhan Kluang yang terletak di bandar Kluang, tidak termasuk lagi caj-caj tambahan.

“Bayaran tersebut menimbulkan aduan penjaja bahawa sewa terlalu mahal. Kegunaan hasil sewaan tapak bazar tersebut juga tidak didedahkan oleh Md. Jais dan tidak diketahui oleh orang ramai,” tegas Chin Tong.

Sebelum ini, Adun Mengkibol Tan Hong Pin dan Yang Dipertua PAS Kluang Khairul Faizil Ahmad Kamil mendesak kerajaan negeri menjelaskan rasional MPK menyerahkan kuasa pengendalian bazar kepada YPK yang dipengerusikan Md Jais Sardi yang juga Adun Mahkota. – Roketkini.com