Berita

Universiti Malaysia wajar kejar kecemerlangan, jangan dikenali kerana keganasan

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin harus membentangkan Pelan Induk Pendidikan Tinggi pada sesi Dewan Rakyat Oktober depan bertujuan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua buah universiti tempatan berkelas dunia menjelang tahun 2020.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, langkah ini lebih penting dilakukan berikutan universiti di Malaysia hanya dikenali sebagai tempat merekrut pengganas, termasuk untuk kumpulan Islamic State in Syria and Iraq (ISIS).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini turut mengakui bahawa ada di antara institusi pendidikan tinggi tempatan menjadi tempat merekrut militan.

Pensyarah Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad antara lima individu dikehendaki polis kerana terlibat dengan aktiviti-aktiviti militan, menyebabkan universiti di Malaysia menjadi serangan publisiti yang tidak diingini baik di peringkat nasional ataupun antarabangsa.

Tahun 2013 menyaksikan Malaysia tidak tersenarai dalam Times Higher Education World Rankings bagi kedudukan 400 universiti terbaik dunia dan berulang tahun ini apabila sekali lagi gagal tersenarai dalam 2014 Times Higher Education (THE) bagi 100 universiti terbaik di bawah usia 50 tahun.

“Sedangkan empat universiti Asia lain dinobatkan antara 10 universiti terbaik dengan dua dari Korea Selatan, satu dari Hong Kong dan Singapura,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Universiti Malaysia tak tersenarai antara 100 terbaik

Sementara itu, Times Higher Education World Reputation Rankings bagi 2014-2015 menyatakan, 14 universiti Asia tersenarai dengan tiga dari Korea Selatan, dua dari Hong Kong dan Singapura, manakala satu dari China dan Taiwan.

Dari kedudukan tersebut, Universiti Tokyo telah muncul sebagai universiti Asia terbaik diikuti Universiti Nasional Singapura, Universiti Hong Kong, Universiti Nasional Seoul dan Universiti Peking China.

Hong Kong, sebuah negara kecil, dinamakan sebagai ‘bintang’ oleh THE kerana mempunyai enam buah universiti yang berada dalam kedudukan 50 universiti terbaik.

Manakala India yang telah menjalani perkembangan mengagumkan apabila 10 institusi pendidikan tingginya memasuki senarai kedudukan 100 terbaik berbanding tiga tahun lalu.

Thailand yang berada dalam konflik politik masih mampu menempatkan 10 universitinya dalam kedudukan 100 universiti terbaik, termasuk Universiti Teknologi Raja Mongkut, Thonburi dan Universiti Mahidol.

“Tidak ada satu pun universiti dari Malaysia tersenarai dalam kedudukan universiti terbaik THE bagi tahun 2014. Ia sangat memalukan dan membimbangkan jika dibandingkan dengan tahun 50-an dan 60-an,” ujar Kit Siang.

Tambahnya, Universiti Malaya sebelum ini yang dikenali berkelas dunia setanding Universiti Melbourne dan Sydney sekarang dilihat tidak mampu menandingi kedudukan institusi luar.

“Jika Najib dan Muhyiddin benar-benar serius ingin mencapai objektif Malaysia sebagai negara maju pada 2020, semua ini adalah keperluan mendesak.

“Tidak ada negara di dunia yang mendapat status negara maju tanpa menghasilkan universiti-universiti berkelas dunia,” tegas Kit Siang. – Roketkini.