Berita

Guna haid perlekeh Wan Azizah, Umno hina dan tak hormat wanita

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: DAP hari ini menyelar kenyataan biadap peguam Umno Datuk Hafarizam yang memperlekeh dan mempersoalkan kemampuan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon Menteri Besar Selangor kerana uzur syarie.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah Dyana Sofya Mohd Daud berkata, kenyataan Hafarizam itu merupakan bukti nyata bagaimana Umno telah gagal memartabatkan wanita dalam politik.

“Hanya individu dengan mentaliti katak di bawah tempurung saja boleh menafikan peluang dan hak wanita untuk memimpin semata-mata kerana ‘datang bulan’,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Dyana, terdapat ramai wanita-wanita hebat yang berjaya memimpin, mentadbir dan menunjukkan ketokohan luar biasa di seluruh dunia.

Sebagai contoh, katanya, Canselor Jerman Angela Merkel, yang merupakan antara pemimpin paling berkuasa di Eropah.

“Kalau Hafarizam menonton perlawanan Akhir Piala Dunia pagi semalam, dia mungkin perasan Merkel duduk di tengah khalayak bersama Presiden Argentina Christina Fernandez de Kirshner. Kedua-dua mereka ini adalah contoh wanita hebat.

‪”Dalam dunia Islam, kita memiliki Benazir Bhutto, wanita Islam pertama yang mengetuai sebuah kerajaan demokratik sebagai Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1988.

“Pencapaian beliau diikuti oleh Perdana Menteri Bangladesh Begum Khaleda Zia dari tahun 1991 hingga 1996 dan sekali lagi dari 2001 ke 2006.

“Malangnya di Malaysia, pada masa kini, masih ada orang berfikir bahawa haid adalah kecacatan yang menghilangkan kelayakan wanita untuk menjadi ketua sebuah kerajaan,” ujar Dyana.

Jelas mantan calon Parlimen Teluk Intan itu lagi, Hafarizam dan pimpinan Umno seharusnya tahu bahawa Perlembagaan Selangor tidak memperuntukkan jawatan Menteri Besar khusus kepada gender tertentu tetapi hanya Melayu Muslim saja.

“Sebagai seorang peguam, dia sepatutnya menghormati undang-undang yang telah termaktub dan bukannya menyalahkan sensitiviti masyarakat serta pantang larangnya.

“Adakah memiliki seorang wanita sebagai pemimpin masyarakat sesuatu yang benar-benar sensitif dan tabu?” soalnya.

Akhbar New Straits Times (NST) hari ini melaporkan kenyataan Hafarizam yang mendakwa Wan Azizah tidak sesuai menjadi Menteri Besar kerana mengalami uzur syarie.

Beliau menyatakan, uzur syarie itu sudah tentu menghalang Wan Azizah daripada mengiringi sultan dalam pelbagai acara keagamaan. -Roketkini.com