Berita

DAP mohon Rahman Dahlan tunai janji, dedah semua dokumen insinerator

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: DAP menuntut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya menunaikan janjinya di Parlimen untuk mendedahkan dokumen tender insinerator Taman Beringin.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, jika Rahman gagal memenuhi janjinya itu, ia jelas membuktikan bahawa kementerian sememangnya menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat.

“Saya menyeru Menteri menunaikan janji yang dibuat di Parlimen bahawa dokumen-dokumen tender akan didedahkan kepada umum termasuk identiti pembida untuk kilang penjana tenaga daripada sisa.

“Kegagalan berbuat demikian bermakna beliau telah memungkiri janji dan menyembunyikan sesuatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kian Ming menegaskan bahawa Abdul Rahman pada sidang Parlimen 28 November tahun lalu, telah menyatakan semasa perbahasan belanjawan bahawa tender bagi insinerator Taman Beringin adalah bertaraf antarabangsa dan semua data akan didedahkan.

Baru-baru ini, Abdul Rahman juga dalam akaun Twitter milik peribadinya mendakwa kilang yang dicadangkan di Taman Beringin akan dibina melalui inisiatif kewangan swasta dengan kos pembinaan ditanggung pembida berjaya.

Menurut Abdul Rahman lagi, kerajaan hanya akan membayar upah per tan dan bukannya perbelanjaan modal bagi kilang yang dicadangkan.

Sehubungan itu, Kian Ming menyatakan bahawa amat penting Abdul Rahman mendedahkan bayaran upah per tan kepada kilang supaya dapat dibandingkan dengan bayaran semasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jika kadar upah lebih tinggi daripada kadar semasa, ia akan membuatkan penduduk Kuala Lumpur terpaksa membayar cukai taksiran yang jauh lebih tinggi,” tegasnya.

Mengambil contoh kos operasi bagi setiap tan insinerator di Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi, beliau menyatakan bahawa semuanya melebihi RM200, manakala Cameron Highlands paling tinggi iaitu RM363 satu tan.

“Jika kos modal bagi insinerator ini dimasukkan, maka kos per tan akan jauh lebih tinggi daripada RM200.

Menurut maklumat yang diperolehi oleh Kian Ming melalui tweeter daripada Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta, semua maklumat berkenaan insinerator yang dicadangkan, termasuk kadar upah, terdapat dalam dokumen tender (RFP) yang dijadualkan akan diterbitkan pada minggu ketiga Julai 2014.

Bagaimapun, menurut Kian Ming, “apabila ditanya sama ada dokumen itu akan diterbitkan di laman web UKAS, beliau (Pengarah UKAS) tidak memberikan saya jawapan.”

Loji insinerator 1,000 tan dicadangkan untuk dibina di Taman Beringin pada pertengahan tahun 2015 dan siap sepenuhnya pada tahun 2018. -Roketkini.com