Berita

Paksa ‘balik Tongsan’, Ketua Pemuda WP perlu dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR, 21 JUL: Umno perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Mohd Rafii yang sekali lagi menunjukkan sikap perkaumannya selepas mengarahkan Yuki Tan Poh See, isteri kepada Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik, untuk “balik Tongsan (Cina).”

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan pimpinan Umno menjadi semakin berani untuk mengeluarkan kenyataan menyinggung dan berbau perkauman seumpama itu.

Melalui laman twitter pagi tadi, Razlan mendesak Kian Ming agar meminta Tan balik ‘Tongsan’ kerana memalukan negara.

Ia berikutan kenyataan Tan di laman Facebooknya bahawa “Malaysia adalah negara tidak berguna,” kerana sekali lagi ditimpa musibah dengan terhempasnya pesawat MH17.

Tan bagaimanapun telah meminta maaf berhubung keterlanjurannya itu dan berkata tidak berniat untuk menyinggung rakyat Malaysia.

“Yuki Tan, isteri kepada Ahli Parlimen Tanjong, telah pun memohon maaf atas kenyataannya. (Namun) malangnya, Umno dan Pemuda Umno tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu mereka. Tindakan mengarahkan seorang rakyat untuk meninggalkan tanahairnya adalah satu penghinaan, dan sangat menyinggung perasaan.

“Lebih menyakitkan apabila ia dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno yang mewakili Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyamakan kenyataan Razlan itu dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail pada tahun 2008 yang menyifatkan orang Cina dan India sebagai ‘pendatang’.

Ahmad Ismail kemudian digantung tiga tahun daripada Umno dan digugurkan semua jawatan dalam parti itu. Beliau dilantik semula sebagai Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan Umno pada Julai 2010.

Katanya lagi, jika Umno serius dalam isu perpaduan nasional dan membanteras semangat perkauman, ia perlu bermula dari dalam parti itu sendiri, iaitu dengan mengambil tindakan ke atas Mohd Razlan.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan menggalakkan lagi pemimpin Umno, termasuk dalam Pemuda, untuk terus mengeluarkan kenyataan perkauman dan seterusnya mempermainkan dasar 1Malaysia yang sering dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya lagi.

Razlan mula ‘terkenal’ selepas membuat rusuhan serta mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat DAP. Sehingga kini, beliau belum dikenakan apa-apa tindakan disiplin di atas ancamannya itu. -Roketkini.com