Berita

Kerajaan diminta lindungi kepentingan pelajar perubatan Pugsom

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: DAP menggesa Kerajaan Persekutuan supaya campur tangan dan bertindak segera untuk melindungi kepentingan pelajar Malaysia Perdana Graduate School of Medicine (Pugsom).

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, dengan terputusnya hubungan bersama Johns Hopkins University School of Medicine, projek kampus Pugsom bernilai RM2.3 bilion perlu serta-merta ditangguhkan.

“Dengan penarikan balik fakulti Johns Hopkins dan kurikulumnya, tanggungjawab pertama Pugsom serta kerajaan adalah mencari cara yang adil dan telus untuk memastikan pelajar sedia ada di bawah program terbabit dapat menamatkan pengajian.

“Kumpulan pertama di bawah program Pugsom dijangka hanya akan menamatkan pengajian pada tahun 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kita harus ingat bahawa Pugsom adalah program pasca siswazah, bermakna pelajar terbabit telah memiliki ijazah. Rundingan hendaklah diadakan dengan pihak berkepentingan terutamanya dengan pelajar itu sendiri dan keluarga mereka,” ujarnya.

Pugsom yang ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah inisiatif Academic Medical Sdn Bhd (AMC) menawarkan kursus perubatan empat tahun dengan kerjasama Johns Hopkins dengan belanja sebanyak RM800,000.

Pada September 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerjasama di antara Johns Hopkins, pelabur Malaysia dan Amerika Syarikat dan malah menyebut bahawa institusi tersebut akan menjadi hub penyelidikan perubatan di rantau ini.

Najib menyatakan, 50 pelajar setiap tahun di bawah program Pugsom akan dibiayai oleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kian Ming turut mendesak kerajaan supaya berhenti  menghantar pelajar yang mendapat biasiswa JPA ke program Pugsom dan PU-RSCI.

Jelasnya, ia berikutan Pugsom sendiri telah mengalami pelbagai masalah kewangan yang tidak terjawab dan menimbulkan tanda tanya.

Johns Hopkins dalam kenyataan terbaru menyatakan, notis rasmi keputusannya menamatkan kerjasama dihantar kepada AMC 17 Mac tahun ini, namun membenarkan fakulti itu kekal sehingga 31 Julai demi kepentingan pelajar yang mengikuti Pugsom.

“Menurut akaun kewangan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat (SSM), AMC (pemilik Pugsom) mempunyai rizab negatif bernilai RM189 juta dan telah mengalami kerugian sebanyak RM63.6 juta pada akhir tahun 2013.

“Kebajikan pelajar perubatan kita, sama ada semasa atau akan datang tidak boleh dibiarkan terancam serta dipandang ringan begitu saja.

Kian Ming turut memohon kerajaan agar menahan peruntukan projek Perkongsian Awam-Swasta sebanyak RM2.3 bilion untuk membina kampus Pugsom yang dikatakan merangkumi hospital pembelajaran dengan 600 katil.

“Projek ini telah diberikan kepada Chase Perdana, syarikat induk AMC. Pemberian ini menimbulkan banyak persoalan, kerana Chase Perdana adalah sebuah syarikat pembinaan.

“Mengapa syarikat pembinaan diberikan tanah dan lesen untuk mengoperasikan sebuah universiti perubatan dan mengapa ia diberikan kepada syarikat induk AMC?” soalnya. -Roketkini.com