Berita

Hari Perkabungan Negara: DAP rakam takziah kepada mangsa MH17

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Masa seakan terhenti, dunia pegun seketika apabila seluruh negara tanpa mengira latar belakang agama dan warna kulit bertafakur selama seminit bagi memberi penghormatan kepada kepulangan mangsa pesawat MH17 ke tanah air.

Jenazah 20 warga Malaysia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi.

Jalur Gemilang dikibar separuh tiang, 30 juta rakyat bersatu dalam kesedihan bagi mengenang tragedi yang menimpa 20 rakan senegara yang terkorban apabila pesawat MH17 dengan 298 orang dipercayai ditembak jatuh dari langit Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Tragedi menyayat hati itu telah mengejutkan seluruh dunia kerana ia berlaku hanya kira-kira tiga bulan selepas misteri kehilangan pesawat MH370, 8 Mac lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang hadir di KLIA untuk memberikan penghormatan terakhir turut merakamkan ucapan takziah melalui laman twitternya.

“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, politik bersatu memberi penghormatan kepada mangsa MH17.

“Hampir seribu rakyat menyambut kepulangan kumpulan pertama jenazah. Kali pertama dalam sejarah negara bertafakur selama seminit sebagai penghormatan kepada 298 orang,” katanya.

Pesawat Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas dekat bandar Donetsk, kubu kuat puak pemisah pro-Rusia.

Antara pemimpin DAP lain yang hadir di KLIA ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong. – Roketkini.com