Berita

Pembalakan di tapak kilang Tawau Green Energy, kenyataan JPS mengelirukan

TAWAU, 22 OGOS: Ahli Dewan Undangan Seri Tanjong Chan Foong Hin meminta Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) tidak mengelirukan orang ramai dengan memberi penerangan bercanggah berhubung kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Andrassy di Taman Bukit Tawau.

Chan merujuk kenyataan Pengarah JPS Datuk Sam Mannan pada September 2013 yang menyatakan bahawa ‘dijangkakan tapak yang dibersihkan untuk loji geoterma Tawau Green Energy adalah lebih kurang 150 hektar’.

Namun menurut Chan, bagi setiap 50 meter padu hutan dara bagi setiap hektar, kawasan maksimum yang dibenarkan untuk penebangan balak seharusnya pada kadar 7,500 meter padu.

“Bagaimanapun jawapan rasmi Jabatan Perhutanan Sabah kepada Dewan Undangan Negeri menyatakan 20,049 meter padu kawasan hutan dara yang ditebang, melebihi had pembalakan bagi 150 hektar.

“Manakala jawapan rasmi dari Dewan Undangan Negeri Sabah, 6,563 balak atau 20,049.55 meter padu kawasan balak ditebang dari Jun 2013 hingga Mac 2014 melebihi keluasan dibenarkan iaitu 150 hektar.

“Kedua-dua jawapan diberikan hampir serupa. Jadi, jumlah mana satu yang boleh digunakan?,” kata Chan sambil menekankan bahawa jumlah kawasan yang dibalak dengan keluasan kawasan pembalakan perlu seimbang.

Chan turut memperolehi maklumat dari beberapa pihak yang terlibat dengan industri pembalakan bahawa bagi setiap perjalanan, sesebuah lori balak mengangkut 30 meter padu muatan.

Justeru, anggaran 10 perjalanan setiap hari selama 25 hari memadai membawa keluar 7,500 meter padu muatan balak bagi kawasan seluas 150 hektar.

“Masalahnya, mengapa aktiviti pembalakan masih diteruskan dari Jun tahun lalu hingga sekarang?” soalnya.

Dalam pada itu kata Chan, menurut amalan pembalakan kurang dampak (RIL), jalan dibina untuk ke kawasan pembalakan hanyalah dengan kelebaran maksima 15 meter.

Namun, perkara yang berlaku membangkitkan persoalan berhubung kelulusan oleh Pengarah JPS, lebih-lebih lagi dua laluan sedia ada sudah memadai bagi kerja pengorekan di tapak kilang geotermal.

Justeru, beliau mengulangi desakan kepada Pengarah JPS untuk turun ke tapak dan memberi maklum balas kepada setiap aduan orang ramai terutamanya berhubung khazanah balak yang diangkut keluar dari hutan simpan kelas pertama.

Tegas Chan, beliau tidak berniat memberikan imej buruk terhadap projek geotermal TGE, namun pihak berkuasa sewajarnya memberikan jawapan munasabah dan sesegera mungkin bagi menjelaskan keraguan di kalangan penduduk di negeri ini.

“JPS mesti melaksanakan pemeriksaan ke tapak bersama pihak berkepentingan termasuk komuniti tempatan, wakil rakyat dan NGO alam sekitar dalam tempoh dua minggu selepas kenyataan ini dibuat,” ujarnya. – Roketkini.com