Berita

Perutusan Merdeka ke 57: Jadikan tragedi MH370 dan MH17 titik mula kembalikan perpaduan negara

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Jadikanlah peristiwa hitam MH370 dan MH17 yang diratapi seluruh negara sebagai titik mula mengembalikan semula semangat perpaduan sesama kita.

Begitulah pesan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam perutusan sempena ulang tahun kemerdekaan ke 57 esok.

“Ini adalah cabaran terbesar bukan sahaja untuk rakyat, tetapi juga kepada pemimpin di setiap lingkungan,” katanya lagi.

Katanya, ini kerana sepanjang sejarah, Malaysia tidak pernah berhadapan dengan perpecahan seteruk apa yang berlaku kini.

“Selepas 57 tahun merdeka, rakyat melalui pelbagai fasa dan ujian yang mematangkan, sehingga melahirkan kesedaran tentang hak mereka sebagai warga dalam sebuah negara majmuk, dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

“Saban tahun, kita diingatkan bahawa negara kini bebas daripada penjajahan. (Namun) adakah kita benar-benar bebas, atau kita dibutakan oleh ilusi yang dimainkan propaganda kerajaan?,” soalnya.

Tokoh veteran DAP itu bertanyakan soalan itu, memandangkan banyak peristiwa provokasi kau dan agama dimainkan mutakhir ini, ditambah pula dengan penindasan berterusan kerajaan BN terhadap ahli politik Pakatan Rakyat.

“Selepas 57 tahun merdeka, negara masih bergelut untuk membina masyarakat yang boleh hidup harmoni tanpa mengambil kira kaum, keturunan dan pendirian politik.

“Sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalah penjajah British masih diamalkan. Undang-undang zalim tinggalan mereka yang menafikan hak bersuara dan kebebasan demokratik seperti Akta Hasutan masih digunakan,” katanya lagi, merujuk siri pendakwaan terbaru terhadap barisan wakil rakyat Pakatan tahun ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga sempat menyingkap ‘fenomena’ #IfMerdekaAdsWereReal di laman twitter baru-baru ini, yang mempersoalkan perbezaan kenyataan sebenar dengan apa yang dipaparkan iklan-iklan sempena kemerdekaan.

“Saya melihat banyak rakyat Malaysia meluahkan kekecewaan mereka terhadap ilusi kebebasan, kemakmuran dan harmoni dalam iklan di televisyen…(sedangkan) kita masih lagi berpecah.”

Maka, katanya lagi, sudah tiba masanya rakyat Malaysia benar-benar berusaha ke arah perpaduan, dan dua tragedi pesawat yang menyaksikan seluruh rakyat Malaysia bersatu meratapinya sebagai permulaan.

“Pada Hari Merdeka ke-57 ini, saya menyeru seluruh rakyat untuk menjadikan dua tragedi itu sebagai permulaan baru, bagi membentuk semula perpaduan di negara kita ini,” kata tokoh itu lagi. – Roketkini.com