Budaya

George Town Festival: Ismail Hashim, merayau dengan jiwa yang dahaga

-Aliff Fikri

Ismail Hashim, nama ini tidak pernah saya kenali apatah lagi untuk mengetahui apa yang pernah dibuat dan dilakukan serta memperakui kewujudan serta kehebatannya sebagai jurugambar.

Saya tidak tahu sejak bila kewujudan dan keberadaan sudah menjadi barang yang mual. Mungkin kerana terlalu mengamini kata Jean Paul Sartre dalam esei “Being and Nothingness” yang berbunyi:

“I exist, that is all, and i find it nauseating.”

Atau mungkin terlalu banyak ke acara seni dengan struktur operasi (pentas teater, tayangan filem), hingga menjadikan otak lebih mengarah ke pameran dalam bentuk teks budaya kerana ia lebih cepat buat naik ‘syeh’.

Pulau Pinang pada fikiran ini hanya ada rumah agam, bangunan tinggalan sejarah, Chowrasta dan Nasi Kandar Tajuddin Hussain, sehinggalah seorang teman membawa saya ke pameran Unpack-Repack: Sebuah Tribut untuk Ismail Hashim di The Whiteways Arcade, Lebuh Pantai, acara satelit sempena George Town Festival 2014.

The Whiteways Arcade, sebuah bangunan dua tingkat tinggalan kolonial, terletak di antara Lebuh Bishop dan Lebuh Gereja, dulunya di era pentadbiran Inggeris dikenali sebagai The Whiteways dan Laidlaw General Store.

Sebaik melangkah kaki ke sini, saya terbayangkan keriuhan pegawai-pegawai British, termasuk Kapten Francis Light meneguk anggur merah, bersuka ria, memberi arahan kepada soldadu dan hamba-hamba. Saya masuk ke tempat pameran tribut yang dipecahkan kepada lima bilik. Bilik pertama dengan tema “Penghormatan”, kedua “Going Bananas”, ketiga “Melihat Ke Luar”, keempat “Melihat Ke Dalam” dan terakhir “Peredaran Masa Kebenaran dan Keindahan Usaha-Usaha Terakhir”.

Jenuh mendongak dan menunduk di kelima-lima bilik, saya secara rasminya memilih bilik pertama, kedua dan ketiga sebagai paling menarik.

Memasuki bilik pertama jurugambar terkenal Pulau Mutiara dan Pengasas NGO Reformasi ‘Aliran’ ini, saya tertarik pada karya beliau yang bertajuk We Shall Overcome (1975). Imej foto seorang gadis sedang berlari sambil memegang payung dan latarnya dipenuhi jalur-jalur air menurut pendokumen Nur Hanim Khairuddin adalah kelibat Ismail sebagai pendokong humanisme dan pemerhati masyarakat.

Saat ternampak pintu bilik kedua “Going Bananas”, perkara pertama yang muncul dalam kepala adalah imej wanita, mungkin pekerja sosial, sedang mengintip-gintip pisang penyedap malam supaya senang tidur. Mohon maaf jika ini dianggap memperlekeh wanita atau menaikkan kemarahan penyanjung Naomi Wolf atau sesiapa saja yang bertuankan kata “tidak ada sosialisme tanpa pembebasan perempuan.”

Padahal sebagai manusia, semua individu tidak akan terlepas pada sepuluh huruf ‘Voyeurisme’, dorongan tidak terkawal untuk secara diam-diam mengintip atau melihat seseorang berlainan jenis atau sejenis tergantung orientasi untuk memperoleh kepuasan seksual.

Tapi tekaan saya silap, ‘Going Bananas’ rupanya gambar yang segalanya bertemakan pisang adalah kiasan Ismail tentang kegilaan, metafora tepat tentang artis yang naik gila dan nanar terhadap praktis kesenian serta misteri alam. Seorang anggota ‘working class’ seperti Ismail juga tidak gemar kesucian ‘kelas pekerja’ diromantiskan dan beliau mengistilahkan segala yang romantis sebagai ‘batang pisang’.

Kegilaan beliau terhadap pisang dibuktikan menerusi proses kerjanya yang teliti dan cermat di dalam menghasilkan cetakan lekap, serta memilih menyimpan negatif, cetakan ujian dan karya lengkap.

Di bilik ketiga, “Melihat Ke Luar”, apa yang menarik perhatian saya di ruangan ini bukanlah gambar tapi terjemahan Ulysses dari Lord Alfred Tennyson oleh Ismail sendiri. Rangkapnya seperti berikut:

“…aku tidak boleh berhenti mengembara..kerana aku sentiasa merayau dengan jiwa yang dahaga.”

Dalam ruang mirip koridor ini, Ismail, pengembara yang resah Melihat Ke Luar untuk menjengah dunia dan penuh empati mengungkap keagaman bumi serta penghuninya sambil menganalisa dunia sosial dan alam fizikal lalu ‘merayau dengan jiwa yang dahaga’.

Di bahagian Manusia dan dan Pekerjaan (bilik sama), Ismail merakam kegiatan pekerjaan masyarakat majmuk Malaysia serta kegiatan masa lapang mereka dalam keadaan berehat atau bergerak. Beliau mencari secara visual hal-hal terkait dengan jerih perih kehidupan natijah dari kegigihan meneruskan kelangsungan hidup dengan memanfaatkan apa sahaja. Paling ketara tertera pada karya Standing on Your Feet on Two Wheels (1977), sebuah foto berbentuk kolaj yang menampilkan imej penjaja kecil membawa barangan jualan di atas basikal mencari sesuap rezeki.

Setelah sejam lebih menatap, rakan saya mengingatkan bahawa masa sudah tiba untuk bergegas menghantar saya ke feri. Sebelum balik, saya disapa seorang gadis, dia bertanya “Hey! do you like The Big Durian?” Tidak sempat menjawab, hanya memberikan senyuman, saya menuju ke kereta.

Banyak acara menarik di George Town Festival yang tidak sempat saya pergi, mungkin kerana beberapa halangan. Antara yang menarik dan wajib dihadiri (ketika catatan ini ditulis) adalah Short Sweet Malaysia 2014, Teater At Home At The Zoo, tayangan filem pendek Hai Ki Xin Lor, persembahan Hindi Ghazal, pameran sejarah boria dan lain lagi.

Dalam feri, sambil melihat laut saya masih memikirkan apakah simbolik kepada pertanyaan tentang filem dokumentari The Big Durian? Dan saya kini seperti Tennyson dan Ismail ‘merayau dengan jiwa yang dahaga’.  -Roketkini.com

*George Town adalah festival kesenian yang berlangsung selama sebulan dari 1 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos 2014 lalu. Penganjuran festival yang bertujuan mengangkat seni budaya tempatan dan antarabangsa di Kota Warisan Unesco ini telah dimulakan pada tahun 2010.

Sejak tahun 2010 sehingga kini, pelbagai acara dan pertunjukkan bertaraf dunia yang merangkumi kolaborasi lintas budaya kreatif, seni eksperimental, seni pertunjukkan tradisional dan kontemporari termasuk kesenian masyarakat setempat serta instalasi publik telah diadakan.