Berita

Mahkamah wajar dengar hujah Indira Gandhi sebelum tangguh perintah kepada KPN

IPOH, 19 SEPT – Peguam Indira Gandhi, M Kulasegaran akan mencabar perintah ex-parte yang menangguhkan tangkapan terhadap bekas suaminya yang didakwa melarikan anak mereka setelah memeluk Islam.

Perintah ex-parte itu diperolehi Jabatan Peguam Negara setelah Mahkamah Tinggi Ipoh Jumaat lalu memerintahkan Ketua Polis Negara untuk segera membuat tangkapan terhadap K Pathmanathan @ Muhd Ridhuan Abdullah serta mengambil anak pasangan itu yang berusia enam tahun, Prasana Diksa dari beliau.

Kulasegaran yang juga Naib Presiden DAP dalam kenyataannya menerangkan bahawa perintah ex-parte adalah perintah yang memberi manfaat kepada satu pihak sahaja. Dalam kes ini, perintah asal dari Mahkamah Tinggi hanyalah supaya bekas suami Indira ditangkap.

“Sepatutnya lebih adil sekiranya pihak Peguam Negara menyampaikan dokumen berkaitan kepada kami dan memohon supaya hal tersebut didengari panel tiga hakim di mahkamah terbuka,” katanya.

“Perintah ex-parte ini hanya akan memanjangkan urusan dan memprejudiskan kebajikan Prasana Diksa serta (ibunya) Indira Gandhi.

“Sekiranya mahkamah mendengar penghujahan kami, mungkin ia akan memutuskan bahawa permohonan perintah tersebut adalah tidak berasas,” tambah Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Hakim Lee Swee Seng dalam penghakimannya minggu lalu memerintahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhd Ridhuan, serta menolak permohonan peguam persekutuan untuk menangguhkan perintah tersebut.

“Peguam Negara mesti meyakinkan rakyat Malaysia bahawa permohonan ex-parte sedemikian dibuat berdasarkan kepentingan awam dan bukan sebarang tujuan lain,” katanya sambil menambah bahawa Indira sudah tidak menemui anaknya selama lima tahun sejak diculik bapanya. – Roketkini.com