Berita

Ekoran pengharaman SIS, Rukunegara dan Wawasan 2020 haram juga?

BUKIT BENDERA, 1 NOV: Tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mewartakan fatwa mengharamkan Sisters In Islam (SIS) pada 31 Julai lalu adalah langkah ke belakang yang hanya merugikan masyarakat Melayu Muslim dan rakyat Malaysia.

Ahli parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini berkata, Tindakan MAIS atas alasan NGO tersebut membawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama mengelirukan umat Islam dan rakyat Malaysia.

Katanya, ini kerana kerana umum mengetahui asas ideologi negara adalah Rukunegara yang dengan jelas mendukung cita-cita ‘menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.

“Wawasan 2020, yang meletakkan cabaran kelimanya sebagai ‘mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka.

“Apakah MAIS tidak menyedari perkara ini? Jika mereka telah menyedarinya, adakah MAIS juga akan mengisytiharkan Rukunegara dan Wawasan 2020 serta pengasasnya, Tun Dr Mahathir, sebagai haram dan menyeleweng daripada ajaran Islam?” soal Zairil.

SIS semalam memfailkan semakan kehakiman ke atas satu fatwa dikeluarkan MAIS yang mengharamkan kumpulan NGO wanita itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman dan ahli lembaganya Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina dalam satu kenyataanya berkata, SIS tidak diberitahu atau dipanggil berbincang sebelum fatwa tersebut disiarkan 31 Julai lalu dan tuduhan yang mendakwa SIS menyebarkan ajaran liberalisme dan pluralisme dibuat tanpa siasatan sebagai tindakan yang tidak adil.

Fatwa yang sama menyatakan bahawa mana-mana bahan terbitan yang berunsur fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

Ekoran pewartaan fatwa tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula diminta menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

SIS tak pernah dipanggil beri penerangan

Zairil menambah, fatwa tersebut bukan sahaja menghukum SIS, malah menyekat kebebasannya sebagai pertubuhan untuk menerbitkan sebarang bentuk bacaan bercetak mahupun elektronik.

“Sedangkan pada masa yang sama, MAIS langsung tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan atau tindakan terhadap NGO yang terbukti melampau seperti Perkasa yang dengan terang-terangan mengugut untuk membakar kitab suci agama lain.

“Apakah tindakan Perkasa ini Islamik atau sememangnya negara ini punya dua standard yang berbeza?” soal Zairil.

Dalam pada itu kata Zairil, beliau tidak mempertikaikan MAIS sebagai institusi agama, namun menyeru agar mengambil sikap yang betul dalam menangani perbezaan pandangan di negara ini, apatah lagi berhubung dengan permasalahan ideologi.

“Liberalisme, sebagaimana istilah lain yang sarat nilai seperti demokrasi, sosialisme, kapitalisme, hak asasi manusia, dan sebagainya sering disalahgunakan di negara kita untuk melabel golongan tertentu atas sebab-sebab politik.

“Generalisasi ini tidak adil bagi SIS yang tidak pernah dipanggil untuk bersemuka dan membela diri sehingga mereka sendiri tidak pasti bahagian mana organisasi atau advokasi mereka dikaitkan dengan liberalisme dan pluralisme agama,” ujar Zairil. – Roketkini.com.