Nota penterjemah: Tulisan ini ditulis oleh Anwar Ibrahim setelah dibebaskan daripada hukuman penjara selama enam tahun pada tahun 2004. Pertama kali disiarkan dalam majalah The Economist pada 23 November 2004. Menjelang hari-hari akhir perbicaraan kes liwat kedua, kita harus merenung kembali renungan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perjuangan demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Rakyat Malaysia menikmati demokrasi buat julung kalinya apabila pilihanraya umum diadakan pada tahun 1959. Lebih dua dekad kemudian, saya pertama kali dipenjarakan kerana memperjuangkan nasib orang kampung yang ditindas. Akta Keselamatan Dalam
Negeri digunakan ke atas saya dan ribuan mangsa yang lain. Akta ini diperkenalkan British sebagai senjata untuk menumpaskan gerakan komunis. Ancaman komunis kini sudah berakhir, namun akta ini masih digunakan untuk mendiamkan kritikan.
Malaysia bukan satu-satunya negara di Asia yang kononnya menyebarkan demokrasi tetapi pada masa yang sama menghukum para pembangkang. Di rantau ini, ruang demokrasi disempitkan oleh undang-undang zalim, organisasi media menjadi hamba pemerintah, campurtangan politik ke atas mahkamah dan agensi kerajaan yang berat sebelah terhadap pengkritik kerajaan.
Ketika Benigno Aquino, banduan politik Filipina yang ikonik, telah dibunuh dan gerakan ‘People Power’ berupaya menjatuhkan Ferdinand Marcos, aktivis pro-demokrasi melihat peristiwa ini sebagai titik perubahan buat rantau ini. Para autokrat di rantau ini sepatutnya mampu menangkap isyarat yang diberikan. Namun, penindasan politik berterusan. Semasa saya menyiapkan tulisan ini, dunia masih tidak pasti tentang nasib yang bakal menimpa tokoh demokrat Asia yang sedang bersinar, Aung San Suu Kyi.
Buat seketika, sewaktu di ambang krisis kewangan Asia akhir 90an, golongan demokrat meramal harapan baru buat demokrasi di Asia Tenggara. Sekalipun berhadapan dengan kekuasaan yang ada, wujud suara-suara yang lantang berbicara tentang reformasi politik, sebahagiannya untuk mengekang ketegangan ekonomi di masa hadapan. Dan sudah tentu, Indonesia dan Thailand telah berjaya menunjukkan kemajuan ke arah proses kematangan demokrasi.
Optimisme baru ini sedikit goncang apabila Menara Dagangan Dunia di New York runtuh. Akibat perbuatan pengganas yang barbarik, asas demokrasi yang telah dibina dengan keberanian dan pengorbanan oleh perkumpulan aktivis di Asia Tenggara sedikit sebanyak tergoncang. Ironinya, kegoncangan itu bukan disebabkan oleh terorisme, tetapi disebabkan oleh ‘war against terrorism’ yang dilancarkan atas nama demokrasi dan kebebasan. Perkara yang sepatutnya membuahkan pemberdayaan demokrasi di rantau ini sebaliknya malah mengukuhkan lagi autoritarianisme.
Rejim autoritarian bermegah-megah di sebalik kepincangan undang-undang dan tindakan yang zalim. Akibat tekanan oleh Amerika Syarikat, mereka telah menekan pengkritik dengan menuduh mereka sebagai teroris atau Taliban. Untuk melunakkan warga tempatan, mereka berlagak dengan slogan-slogan Anti Amerika, menuduh pentadbiran Bush sebagai hipokrit dan berat sebelah. Mereka mengutuk layanan Amerika Syarikat terhadap suspek keganasan dan mendakwa ia sebahagian daripada penindasan hak asasi – tapi pada masa yang sama, mendiamkan sahaja pelanggaran hak asasi manusia dalam negara sendiri.
Sebelum runtuh Tembok Berlin, negara-negara di Asia Tenggara lebih maju ke hadapan jika dibandingkan dengan Eropah Timur. Mereka menggunapakai sistem berbilang parti dan pilihanraya masih dijalankan. Manakala, Eropah Timur pula masih dibelenggu dengan kediktatoran satu parti. Namun, pohon demokrasi yang tertanam di negara-negara ini tidak pernah disuburkan dengan sihat dan kuat. Ia telah diracun dan punah sehingga hampir mati. Demokrasi tidak akan berkembang tanpa para demokrat yang jujur, sehinggalah nurani kita diperkukuh untuk membentuk iltizam kebebasan dan rasa kebencian terhadap fanatisme.
Harapan tahun 2004
Ada alasan untuk kita kekal optimis. Walaupun dihumban ke penjara ataupun ditekan dengan pelbagai jenis penindasan, golongan demokrat tulen sedang berkembang di Asia Tenggara, mengilhami golongan muda dengan nilai-nilai martabat dan kebebasan. Kelompok aktivis dan masyarakat sivil sedang meluaskan sempadan ruang-ruang demokrasi.
Portal akhbar di internet semakin bercambah, mencipta medan untuk bertukar pendapat sebagai respons terhadap kekangan undang-undang akhbar yang menyekat kebebasan bersuara. Penulis muda berbakat yang punya komitmen terhadap kebebasan, telah menerbitkan majalah independen.
Khabar meresap masuk melalui dinding sel penjara saya bahawa sekelompok anak muda berpendidikan – graduan daripada universiti tempatan dan luar negara, malah penuntut pengajian ilmu kalam daripada Universiti Al-Azhar – sedang rancak membahaskan makalah Emmanuel Kant, “Apa itu Pencerahan?”, membedah idea “Masyarakat Terbuka” Karl Popper dan menghujahkan “Jalan Perhambaan” nukilan FA Hayek.
Dalam konteks ini, doktrin tidak campurtangan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bersifat anakronistik. Kesinambungan ASEAN untuk dilihat relevan perlu didasarkan ke atas kesediaan untuk melibatkan diri dalam menzahirkan komitmen demokrasi di rantau ini. Itulah jalan yang paling jelas untuk mengadakan kerjasama melawan terorisme, terutamanya untuk mengekang gerakan militan Islam di rantau ini. Ia juga cara yang paling efektif untuk memastikan kerjasama ekonomi.
ASEAN perlu melihat Jepun, Korea Selatanm dan Taiwan yang ekonominya menjadi semakin kukuh dengan pendemokrasian. Kita juga harus menumpukan perhatian terhadap India, negara demokrasi terbesar di Asia dengan budaya yang pelbagai – negara yang sedang meniti peluang menjadi kuasa besar dunia.
Negara-negara di rantau ini harus memantapkan institusi demokratik. Mereka harus memastikan pilihanraya yang adil dan bersih terlaksana dan menjunjung kedaulatan undang-undang. Rantau ini harus keluar daripada kepincangan kapitalisme kroni kepada ekonomi pasaran yang terbuka, berlandaskan ketelusan pentadbiran. Tatkala globalisasi semakin menembus masuk, amalan dan institusi yang tidak serasi dengan demokrasi akan menimbulkan masalah.
Demokrasi yang tulen di Asia Tenggara akan menjana penilaian politik kreatif yang diperlukan untuk merangkul kemodenan dan kosmopolitanisme.