Rencana

Gerak mundur ke tahun 2020

Dalam lebih lima tahun dari sekarang, kita akan masuk 2020 – tahun yang menjadi gagasan wawasan negara Malaysia untuk capai taraf negara membangun. Namun kini, tenaga nampaknya lebih dialirkan kepada perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada asas pembangunan pemikiran, ilmu, dan kekreatifan.

Daripada hebohan di media sosial, kita dapat saksikan pertunjukan politik bersentimenkan populis dan ad hominem – serangan pelbagai pihak terhadap dasar kerajaan (termasuk belanjawan 2015); pertempuran antara hak kemanusiaan dan pandangan dogmatik terhadap keagamaan; pengunaan akta hasutan sembarangan ke atas sesiapa saja lantaran kritikan akademik sampai kepada rakaman video di Youtube; dan pertengkaran yang tidak pernah surut antara pembangkang dan kerajaan.

Pada masa sama, kos hidup melambung, disertai dengan tabiat berbelanja yang semakin rakus kerana godaan butik-butik pusat membeli-belah yang kian menawan, lalu diikuti dengan peningkatan bilangan individu yang mengalami insolvensi. Tambahan pula, kita lebih terpukau dengan kursus mahupun ceramah berjenis ‘makanan segera’ yang menjanjikan kejayaan, kebahagian, kekayaan mahupun kesejahteraan tanpa mengambil kira kesannya ke atas gaya hidup mahupun sistem penilaian diri. Kita turut serta dalam aksi kritik-mengkritik dan mentertawakan kedunguan dan kedaifan orang lain tanpa memikirkan apakah yang mendasari kemoralan dan etika masing-masing.

Dalam keasyikan mengkritik kedurjanaan, pernahkan terlintas di benak apakah alternatif yang hendak kita hulurkan kepada kebebalan yang kita kerap keluhkan? Adakah juadah alternatif yang ditawarkan sehambar dan sehampa yang sedia terhidang?

Bagi yang menanggap diri cerdik pandai, selain menabur nama-nama gemilang agar boleh dianggap sama gemilang dengan si pendeta idaman, apakah mutiara-mutiara pujangga yang telah diteliti, diperam, dan ditampilkan balik dalam rupa yang lagi merangsangkan dan bagus? Kewarakan yang membawa kepada kesedaran yang tajam amat dialukan tetapi jenis yang bersifat kepuraan dan menonjol keangkuhan adalah berasaskan ilmu keagamaan yang cetek dan tidak bertunjang.

Kalaulah kita perpanjangkan segala fenomena yang disebabkan dasar-dasar dan pandangan yang hanya menumpu kepada yang paling ketara dan lupa kepada kepentingan ilmu yang hanya menunggu untuk memberi pencerahan, adakah kita akan sedar kekurangan dalam cara kita menilai dan mengukur kemajuaan diri dan masyarakat?

Jikalau kita benar-benar serius mahu mendapat pengiktirafan dunia, kita perlu merenung dalam dan bertanyakan diri kenapa kita bersifat parokial bila dikonfrontasi dengan pelbagai ilmu dan dalam penjelajahan ilmu? Kenapa kita hadkan minat kepada ilmu yang dianggap boleh menunaikan modal komersial, politik dan teknologi, iaitu nafsu jangka pendek, tanpa mengambil kira kos terhadap kemantapan bangsa dalam jangka panjang? Misalannya, universiti-universiti tempatan awam terkejar-kejar mahu mendaki kedudukan universiti-universiti sedunia, tetapi usaha mereka tidak lagi didasari kemajuan ilmu dan idea-idea yang boleh menambahkan kemewahan ilmu – persis seorang rupawan yang bertungkus lumus untuk menambahkan kejelitaan fizikal, tetapi dalam masa yang sama, mengabaikan dan membiarkan binasa batin diri. Kita lupa mana yang boleh tahan lebih lama.

Bangsa Malaysia kekurangan jatidiri walaupun wujud pelbagai wacana sarjana yang meninjau rasional dan ciri-ciri tersebut: dalam kongres budaya, pergolakan ‘kuasa’ antara budaya-budaya yang wujud atas dasar ‘peribumi’ adalah bersandarkan kejahilan terhadap sejarah kebudayaan dan intelektual yang wujud di nusantara dan wilayah-wilayah berdekatan (yang juga menuding kepada kegagalan ASEAN dari segi kerjasama ilmu dan budaya) yang melibatkan seluruh benua Asia. Kita biarkan diri terus dijajahi walaupun melaungkan kemerdekaan kerana kita hanya terus bermain dengan sisa-sisa ilmu yang telah ditinggalkan penjajah lebih dari separa abad lalu. Kita selesa untuk mundur (mungkin kerana kita kurang sedar akan kemunduran ini) dan tidak bersemangat untuk bertungkus lumus dengan tugas yang mencabar, rumit, dan tidak menjanjikan sanjungan daripada masyarakat

Kalau bukan penjajah barat pun, kita akan terus dijajahi disebabkan kekaburan dalam pemikiran kita. Dengan itu, pelbagai unsur ‘songsang’ dengan mudahnya dapat berakar-umbi di Malaysia, sama ada pemahaman ekstrem, skim cepat kaya, budaya pop yang mengkhayalkan, mahupun ‘pemuntahan’ semula hujah-hujah serupa tanpa penelitian semula. Boleh dikata, jatidiri yang kita dengan bangga memanggilnya ‘rojak’ sebenarnya hanya mencerminkan diri yang sebenarnya sesat.

Maka, adalah menjadi harapan penulis dalam esei-esei seterusnya, untuk memulakan perbincangan dengan pembaca-pembaca sekalian tentang langkah-langkah yang boleh kita ambil bersama, sebagai insan yang dianugerahi minda dan semangat, untuk merintis wacana politik, ilmu dan pembangunan masyarakat yang mengambil kira tawarikh, kesemasaan, dan kehadapanan. Dengan itu, mungkin kita boleh mula menumbuhkan asas yang akan memberikan keyakinan intelektual dalam diri masing-masing.

*Clarissa Ai Ling Lee baru pulang ke tanahair selepas tamat pengajian peringkat PhD dan tengah mencipta hidup baru untuk dirinya. Dia mem-blog di scandalousthoughts.wordpress.com