Rencana

Hudud bukan modal PAS menang pilihanraya

Pengumuman oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengenai persidangan khas DUN Kelantan pada 29 Disember untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah II 1993 sebagai permulaan kepada pembentangan usul peribadi di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi Kelantan melaksanakan hudud telah menimbulkan rasa terkejut di kalangan pimpinan PKR dan DAP dan juga majlis pimpinan Pakatan Rakyat memandangkan tidak ada sebarang makluman pun diberikan terlebih dahulu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan juga kepada saya bahawa beliau turut tidak tahu-menahu tentang perancangan kerajaan negeri PAS Kelantan untuk mengadakan sidang DUN khas untuk membincangkan pelaksanaan hudud.

Ini adalah satu pelanggaran kepada persetujuan bersama bahawa sebarang langkah berkaitan hudud hendaklah diperbincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, sambil menghormati dan mengambil maklum keputusan PAS Kelantan mengenai hudud sebelum pembentukan Pakatan Rakyat.

Ini bukanlah caranya untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang telah giyah berikutan perkembangan akhir-akhir ini; ia bukan juga cara untuk mengambil peluang daripada perkembangan lanskap politik melibatkan bekas penjawat awam yang telah mengetuai Suruhanjaya Pilihanraya untuk lebih suku abad, sebagai Setiausaha SPR atau Pengerusinya, yang mengatakan bahawa Umno dan Barisan Nasional sedang berada dalam ‘sakaratul-maut’.

Malah TImbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tahu bahawa pakatan pemerintah yang telah berusia 57 tahun itu sedang berhadapan masalah apabila baru-baru ini beliau mengakui bahawa Umno-BN akan digulingkan sekiranya mereka kehilangan sekadar dua peratus daripada sokongan pengundi dalam PRU yang akan datang.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, Umno-BN berada di ambang kejatuhan, bukan sahaja di peringkat persekutuan di Putrajaya, tetapi juga di beberapa buah negeri. Anjakan dua peratus sokongan pengundi akan menggulingkan Umno-Bn daripada Putrajaya, tetapi cuma satu peratus anjakan diperlukan untuk menggulingkan Umno-BN daripada Kerajaan Negeri Perak.

Sekiranya wujud perubahan sokongan pengundi sebanyak 10%, Umno-BN akan tumbang di kesemua negeri Semenanjung Malaysia. Marjin perubahan pengundi yang diperlukan untuk menewaskan Umno-BN di beberapa negeri tersebut adalah seperti berikut:
Perak – -1%
Terengganu – -2%
Kedah – -3%
Negri Sembilan – -5%
Johor – -6%
Perlis – -7%
Pahang – -9%
Melaka – -10%

Ini merupakan senario politik yang langsung tidak boleh difikirkan dalam masa sedekad lalu.

Pun begitu, masih ada satu amaran. Kadar ayunan terhadap Umno-BN di Kelantan adalah antara yang paling kecil dalam negara.

Oleh sebab itu wujud golongan yang mengatakan bahawa PAS patut berjaga-jaga, bahawa PAS mesti bertindak secara praktikal, realistik dan beringat-ingat akan pepatah ‘mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’. Air di tempayan ini adalah Kerajaan Negeri Kelantan yang telah dikuasai sejak 1990. Risiko yang ditanggung amat tinggi, kerana kita bercakap tentang memenangi kuasa di Putrajaya dan juga beberapa kerajaan negeri.

Adalah satu kesilapan jika kita memilih untuk percaya bahawa PAS bergantung kepada isu hudud untuk kekal berkuasa di Kelantan pada Pilihanraya Umum ke-14 demi memenangi pilihanraya buat kali ke tujuh sejak 1990.

Agenda bersama Pakatan Rakyat dengan urus tadbir yang baik dan keadilan buat individu, kumpulan, kaum-kaum dan negeri) boleh menjamin kemenangan Pakatan Rakyat di Putrajaya dan juga di Kelantan.

Malah sebenarnya hudud bukan sahaja boleh menjadi sebab Pakatan Rakyat tewas dalam usaha memenangi Putrajaya, tetapi juga kehilangan Kelantan – dan membatalkan apa sahaja kelebihan yang telah diusahakan PAS di luar kawasan kubu kuatnya seperti di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Sudah banyak caka-cakap dalam lingkungan PAS mengenai pelaksanaan hudud. Majoriti rakyat Malaysia telah menunjukkan bahawa negara tidak bersedia untuk hudud.

Sekiranya hudud dijadikan isu panas ketika PRU ke-13 pada 5 Mei 2013, Barisan Nasional bukan sahaja mampu mendapatkan semula majoriti dua-pertiga untuk melakukan persempadanan semula secara sesuka hati, Pakatan Rakyat juga mungkin turut kehilangan Selangor manakala Kedah Johor akan kembali menjadi kubu kuat deposit tetap BN.

Isu hudud tidak pernah dan tidak akan menjadi faktor kemenangan bagi PAS berasaskan bukti-bukti pilihanraya yang lalu.

PAS dan PKR memenangi 8 kerusi parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu dalam PRU ke-10 akibat daripada tentangan terhadap Umno berikutan penangkapan Anwar dan gerakan Reformasi.

Namun setelah meluluskan enakmen hudud pada tahun 2001, PAS dan PKR hanya mampu mengekalkan 1 daripada 8 kerusi Parlimen serta 4 daripada 28 kerusi DUN pada PRU ke-11 tahun 2004.

Tambahan pula PAS dan PKR memenangi 4 daripada 8 kerusi Parlimen dan 15 dari 32 kerusi DUN ketika PRU ke-13 di Terengganu tanpa berkempen langsung untuk melaksanakan hudud di negeri itu. Malah, menurut ‘5 Janji Awal Manifesto PAS Terengganu’ dan ‘5Lagi Manifesto PRU13’ untuk PRU ke-13, isu hudud langsung tidak disebut. Kegagalan untuk menyebut tentang hudud dalam manifesto negeri tidak pun menyebabkan PAS kehilangan sokongan di Terengganu.

Apa yang paling perlu diambil perhatian ialah walaupun PAS Terengganu menyertakan pelaksanaan enakmen hudud dalam Manifesto Barisan Alternatif Terengganu sebelum PRU tahun 2008, ini langsung tidak memenangkan PAS dan PKR tambahan undi dan kerusi di negeri tersebut.

PAS hanya menang satu kerusi parlimen dan hanya mampu menambahkan kerusi DUN dari empat ke lapan pada PRU tahun 2008. Sementara sokongan terhadap BN merosot sebanyak 11% di seluruh negara antara 2004 ke 2008, sokongan terhadap BN di Terengganu merosot sekadar 0.5%.

Ini merupakan indikator jelas bahawa pengundi di Terengganu meletakkan lebih banyak tumpuan terhadap isu-isu lain berbanding pelaksanaan hudud.

Sekiranya hudud menjadi isu kontroversi pada PRU ke-13 bulan Mei thaun lalu, akan wujud sedikit pertambahan tidak signifikan terhadap sokongan orang Melayu, tetapi kehilangan kritikal terhadap sokongan bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dan ketiga-tiga parti komponen antara 10% hingga 20%.

Kita boleh melihat kepada tiga senario.

Dalam senario pertama di mana Pakatan mengalami kemerosotan sokongan 10% undi bukan Melayu berbanding 1% pertambahan undi Melayu, Pakatan hanya akan menang 70 kerusi Parlimen atau 32% daripada jumlah kerusi berbanding 89 kerusi Parlimen atau 40% yang kini dimenangi.

Dalam senario kedua di mana sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan merosot sebanyak 15%, Pakatan hanya akan memenangi 57 kerusi parlimen atau 26%. Dan dalam senario ketiga di mana sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan merosot 20%, Pakatan hanya akan memenangi 46 kerusi atau sekadar 21%.

Dalam ketiga-tiga senario ini, Pakatan akan tewas secara keseluruhan sementara Barisan Nasional akan mendapat semula majoriti dua-pertiga yang membolehkan mereka membuat persempadanan semula secara sesuka hati demi meneruskan cengkaman tidak demokratik mereka terhadap kuasa politik.

Jika kita membuat anggaran daripada dapatan-dapatan ini kepada beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, dengan sokongan bukan-Melayu berkurang sehingga 20%, Pakatan Rakyat di Kedah akan sekadar mempunyai 6 kerusi DUN (PAS 5, PKR 1), Pulau Pinang sekadar mempunyai 25 berbanding 30 kerusi (tetapi masih memegang kerajaan negeri) dengan DAP 17, PKR 7 dan PAS 1; kehilangan Selangor dengan Pakatan Rakyat mempunyai hanya 21 kerusi (DAP 11, PKR 5, PAS 5); Johor kembali menjadi kubu Umno-BN, dengan hanya memenangi 4 kerusi, semuanya kerusi DAP; di Perak, Pakatan hanya mendapat 17 kerusi (DAP 14, PKR 2, dan PAS 1); Pahang, kerusi Pakatan sekarang sebanyak 12 daripada 42 kerusi dikurangkan ke hanya 4 (DAP 2, PAS 2); di Negeri Sembilan 14 kerusi Pakatan berkurang kepada 6, semuanya DAP; dan di Melaka, sejumlah 7 kerusi Pakatan berkurang sehingga hanya 3 kerusi DAP.

Sekiranya hudud menjadi isu dalam PRU ke-14, Pakatan Rakyat bukan hanya akan tewas di Putrajaya, tetapi wujud juga kemungkinan untuk PAS tewas di Kelantan.

Senario dan kemungkinan ini memerlukan perhatian bukan sahaja di kalangan pimpinan PAS, tetapi juga DAP dan PKR dan 53 peratus pengundi seluruh negara yang telah mengudi Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 yang lalu.

Kenyataan media oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin 15 Disember 2014