Berita

Surat 25 tokoh Melayu masuk minggu kedua, Najib masih membisu

KUALA LUMPUR, 22 DIS: DAP menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinet untuk menyokong Surat Terbuka 25 Tokoh Melayu bagi memberi mesej jelas bahawa kerajaan menolak ekstremisme dan fanatisme

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sudah dua minggu sejak surat tersebut dikeluarkan yang mendapat sokongan segenap lapisan masyarakat, namun sehingga kini Najib dilihat langsung tidak melakukan sebarang tindakan.

“Adakah Najib bersedia membentangkan Surat Terbuka 25 Tokoh Melayu ini kepada Kabinet bagi mendapatkan sokongan menteri untuk menunjukkan kerajaan komited ke arah kesederhanaan dan menentang sikap tidak toleran, esktremisme dan kefanatikan? kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Pada 8 Disember lalu, sekumpulan 25 bekas pegawai tinggi dan tokoh Melayu memohon Najib memperlihatkan kepimpinannya dengan menentang ekstremisme dan sikap tidak toleran yang kian membarah.

Surat terbuka tersebut telah mendapat respon sangat baik di kalangan masyarakat tanpa mengira kaum, budaya dan agama.

Malah, lebih banyak kumpulan termasuk orang bukan Melayu dan bukan Islam apabila lebih 5,000 orang menandatangani petisyen atas talian ‘I am #26’

Kempen sama iaitu ‘KamiJuga25’ turut mendapat sokongan lebih 1,600 individu, 95 NGO di Malaysia, 22 aktivis Muslim dan pelbagai lagi dalam masa dua minggu ini.

Justeru itu, Kit Siang menggesa semua kelompok moderat tanpa mengira kaum, agama, dan garis politik menyatakan pendirian menolak sikap tidak toleran, ekstrem dan fanatik yang menjadi ancaman masyarakat majmuk Malaysia. -Roketkini.com