Rencana

Aktivisme dan kesukarelawanan: Saluran membangun komuniti

Penulis adalah siswa program Kajian Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Semester akhir; kebanyakan kursus berbentuk teori dan praktis. Aplikasi dua ilmu ini dikuatkan dengan kemahiran yang ditimba sepanjang tahun pengajian.

Hari ini, teori dan praktis yang dihadam menjadi keputusan di atas segulung ijazah. Namun, tidak cukup kuat tanpa kemahiran yang pelbagai, kerana itu yang didahagakan pasaran kerja.

Berbalik kepada tempoh pengajian , pelbagai kursus antaranya ekologi politik, pembangunan sosiologi, politik negara membangun dan penyelesaian konflik. Empat kursus boleh dikatakan kesinambungan daripada kursus semester-semester lalu.

Kursus teras memberi fokus kepada pembentukan sebuah negara membangun. Pendefinisian negara membangun itu sendiri digarap rapi. Dipisahkan dengan konteks politik khususnya sewaktu Perang Dingin dan dilihat juga dari sisi pembangunan sosio-ekonomi.

Ikut pemahaman mudah, politik amat penting bagi sesebuah negara, khususnya yang pernah dijajah dan tidak pernah berdiri sendiri. Politik yang stabil membuahkan hasil ekonomi yang mencanak lantas memberi manfaat kepada pembentukan sosial.

Tiga perkara ini berkait. Jika salah satunya goyah, yang lain turut terancam. Afrika boleh dilihat sebagai contoh. Politik haru biru menjahanamkan warganya, meskipun kaya dengan sumber.

Malaysia: Maju atau membangun?

Kita mahu mencapai wawasan negara sebagai negara maju. Wawasan 2020. Kurang lima tahun lagi. ‘Maju’ digarap oleh pemerintah pada waktu itu, namun bergantung dari sisi yang bagaimana?

Sudah cukup majukah Malaysia kalau industrinya hebat? Sudah cukup majukah kalau alamnya semakin dirobek? Sudah cukup majukah kalau pendidikannya masih caca-marba? Sudah cukup majukah kalau politiknya masih terkebelakang? Sudah cukup majukah kalau perundangannya bercelaru?

Sudah cukup majukah kalau pemimpinnya berdebat di Parlimen ibarat bermesyuarat di kedai kopi? Sudah cukup majukah kalau rakyatnya masih bergantung harap pada pemerintah dengan bantuan?

Terlalu banyak persoalan yang mahu dihamburkan bila disentuh soal kemajuan yang direncana pemerintah.

Asasnya dari pemahaman akademik, pendidikan dan politik merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Ia diperkukuhkan dengan pencapaian ekonomi.

Pendidikan asasnya membentuk mentaliti. Dari lapangan ini lahirlah pemimpin yang akan memegang tampuk pemerintahan, malah menguruskan hasil masyhul negara yang akan digunakan bagi membangun dan menjamin kesejahteraan.

Tetapi, nampak gayanya sistem pendidikan kita kurang  membentuk . Ia hanya menjurus kepada angka kecemerlangan dan keputusan di atas kertas. Kita gagal. Berdaya saing cuma mahu menjadi juara hanya dengan pemarkahan yang tinggi, tapi gagal memahami realiti.

Runtuhkan tembok kebergantungan

Untuk membangun, kita tidak boleh bergantung harap kepada kerajaan yang semakin hari semakin goyah. Kita perlu mula bergerak sendiri membetulkan negara ini sebelum bertambah parah.

Pelbagai peranan yang boleh dimainkan oleh ahli komuniti. Dengan membawa harapan ‘daripada komuniti kepada komuniti’ ia sedikit sebanyak dapat memperkasa penduduk setempat dan membentuk kesedaran tentang peri pentingnya peranan semua kepada pembentukan dan pembangunan negara bangsa.

Peranan komuniti; khususnya kelompok siswa seharusnya digiatkan. Masuk menara gading bukan sekadar hndak menimba ilmu, atau mencapai keputusan cemerlang sahaja.

Ia tak bermakna kalau tidak diaplikasikan kepada realiti. Peranan kampus ialah membentuk mentaliti komuniti. Jangan biarkan pagar kampus menafikan tanggungjawab warga kampus dalam mendidik komuniti.

Alam pekerjaan tak menjanjikan seluruh ilmu yang diperoleh digunapakai sepenuhnya. Tetapi, saluran aktivisme bersama komuniti memberikan ruang dan peluang untuk mengaplikasikan segala macam ilmu yang diperoleh.

Komuniti kita masih lemah dengan pengetahuan dan masih bergantung harap kepada pemerintah. Hampir semua perkara dirujuk kepada pemerintah. Macam menunggu bulan jatuh ke riba.

Apa guna membayar cukai, kalau tidak tahu peranan pembayar cukai? Mungkin inilah hasil dari bucaya kebergantungan.

Saluran membangun komuniti

Diakui, perlu banyak aktiviti digerakkan untuk memperkasa komuniti kita.. Ia tidak perlu eksklusif. Cukup sekadar berbentuk santai tapi bermanfaat.

Perkara yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak yang seharusnya direncana. Contohnya latihan menghadapi kebakaran, kempen menjaga kebersihan, berbasikal dan kesedaran perihal alam sekitar dilihat remeh dan mudah. Tapi cukup untuk menggerakkan kita dan berfikir tentang peranan kita kepada negara.

Aktivisme

Mungkin ini saluran bagi membangun dan memperkasa komuniti kita. Tiada gunanya capai status maju dalam ekonomi dan juara infrastruktur kalau mentaliti komuniti kita masih pada tahap memalukan.

Apa yang diperlukan kita; bukan sekadar infrastruktur nombor satu di dunia, menara tertinggi, jambatan terpanjang dan segala rekod dunia, tetapi lebih kepada pencerahan dan pemerkasaan mentaliti mendepani masa depan.

Negara perlukan kita, dan kita yang menentukan hala tuju negara. – Roketkini.com