Berita

Kesilapan penahanan 2008: Teresa Kok akan bawa ke Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR, 23 APR: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar RM50,000 kepada kerajaan berhubung penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Teresa berkata, keputusan Mahkamah Tinggi jelas sama sekali tidak adil kerana beliau ditahan polis hanya berdasarkan khabar angin.

“Saya kecewa dengan keputusan mahkamah, saya telah ditangkap dan ditahan oleh polis berdasarkan khabar angin yang menuduh saya menentang azan masjid di Bandar Kinrara 5, Puchong.

“Nazir masjid Abdul Rahman sendiri memberi keterangan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan dakwaan tersebut.

“Selain itu saya tidak pernah mengarahkan azan di Masjid Kota Damansara untuk diperlahankan sedangkan pembesar suara masjid itu sebenarnya sudah rosak.

“Ironinya, saya menjadi mangsa penangkapan tidak adil dan satu keputusan yang tidak adil daripada mahkamah,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh itu menyatakan, beliau tidak pernah mengaku kalah dan akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Pada 2009, Teresa memfailkan saman terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, seorang pegawai polis dan kerajaan.

Teresa dalam tuntutannya menegaskan penahanan beliau di hadapan rumahnya di OG Height pada jam 11.15 malam 12 September 2008 dilakukan tanpa asas.

Kata Teresa, disebabkan kecuaian dan tindakan kesemua defendan, beliau berdepan tekanan mental, keperitan dan kesengsaraan akibat keracunan makanan dan juga penafian haknya mengikut Perlembagaan.

Namun Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yim hari ini menolak saman itu dan berkata beliau berpuas hati bahawa penahanan Teresa di bawah ISA dilakukan secara sah.

“Ketakutan saya adalah penghakiman hari ini yang akan menetapkan permulaan buruk bagi kes yang didakwa di bawah pindaan Akta Hasutan dan POTA, di mana mahkamah ditutup dari mempersoalkan kuasa pihak polis dalam menjalankan penahanan.

“Kos RM50,000 juga jelas keterlaluan dan tidak adil,” ujarnya. – Roketkini.com