Berita

Penganjur forum GST di Kluang diugut batal program, Pemuda UMNO disyaki terlibat

KLUANG, 23 APR: Di era kepesatan serta kemajuan teknologi maklumat, tindakan mengugut penganjur program forum GST yang akan diadakan di Kluang, dan disyaki dilakukan oleh Pemuda UMNO Kluang amat dikesali.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin dalam satu kenyataan bersama berkata, program wacana dan diskusi tidak seharusnya disekat dan diugut kerana bertentangan dengan semangat demokrasi yang digagaskan dalam perlembagaan.

“Politik ugut dan samseng hanyalah membuktikan penafian terhadap kemuliaan insan yang seharusnya dibina bersama oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, budaya dan warna kulit.

“Budaya politik ugut dan samseng amat mengecewakan, khususnya rakyat Malaysia yang seharusnya disantuni dengan amalan politik baru yang sihat menerusi budaya wacana dan diskusi secara rasional,” kenyataan tersebut dipetik.

Forum tentang GST dan mengenai politik perkauman itu, akan menampilkan empat penceramah DAP, termasuk ADUN Senai Wong Shu Qi dan ADUN Mengkibol, Tan Hong Ping.

Pemudahcara program Sembang Warong, ‘Bantah GST dan Politik Perkauman?’ yang dianjurkan oleh ‘LayPark@Kluang’, Sheikh Omar memaklumkan menerima mesej ugutan menerusi whatsapp dari nombor tidak dikenali dan mendakwa dari ‘barisan pemuda Kluang’.

IMG_20150423_114201Kandungan whatsapp tersebut tertulis “Kalau you 6 org sahaja mahu buat diskusi carry on….tp kalau you dah mula promo utk Rakyat datang dgr u punya cerita belit untuk kelirukan Rakyat…I akan buat kecoh pd u punya program…apa you ingat you sudah hebat???

“dap ingat Sudah boleh memerintah negara???sampaikan pd you punya pemimpin selagi barisan pemuda kluang ada…selagi UMNO ada…jgn harap boleh memerintah negara…hentikan dgn mengelirukan Rakyat…kalau u x puas hati dgn gst pergi jmpa kastam atau kpdnkk…siapa yg main politik perkauman????”

Tindakan tersebut sangat dikesali, sedangkan budaya diskusi harus disuburkan melalui perbincangan idea sepertimana yang akan dijalankan menerusi medium, bukannya meneruskan budaya politik ugut-mengugut, politik ‘buat kecoh’ dan politik samseng.

Rentetan mesej whatsapp tersebut, akaun Facebook ‘Jentera Muda Kluang’ pada 21 April memuat naik status amaran oleh Pemuda UMNO Kluang dengan mesej ‘jangan semarakkan api perkauman’ dan mengajak orang ramai agar berhimpun di tapak lokasi program sama dengan aturcara pidato terbuka, doa tolak bala serta nyanyian lagu patriotik.

Status turut diakhiri dengan hashtag (#) JanganCabarKami dan PemudaBarisanHadapan. Dimuatkan sama dalam poster adalah imej Ketua Pemuda UMNO Kluang, Datuk Khairul Anwar Rahmat

“Malang, program yang dirancang menerima ugutan serta tentangan pihak-pihak yang tidak senang dengan kehadiran figur anak muda untuk bertemu rakyat Kluang menerusi program sembang warong tersebut,” kenyataan bersama dipetik.

Justeru itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin perlu tampil memberikan penjelasan terhadap insiden ugutan ini. – Roketkini.com