Berita

1MDB: Dua menteri kewangan, dua timbalan, semua tak boleh pakai

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Meskipun Malaysia memiliki dua menteri kewangan berserta timbalan, namun jelas tidak cekap dan langsung tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku ke atas dana 1MDB yang disimpan di bank Singapura.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, keempat-empat mereka gagal memberi penerangan jelas dan mudah mengenai sama ada AS$ 1.1 bilion yang disimpan itu dalam ‘tunai’ atau ‘aset’, atau dalam bentuk ‘unit’ daripada ‘aset’ 1MDB.

“Satu-satunya cara bagi mereka untuk meraih kembali kewibawaan adalah dengan menerbitkan kenyataan sebenar dari BSI Bank yang menjelaskan ‘unit’ daripada ‘aset’ yang didakwa bernilai AS$ 1.103 bilion itu, ” kata Tony.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 21 Mei lalu berkata Putrajaya tersalah tafsir mengenai wang disimpan 1MDB di sebuah bank di Singapura.

Husni berkata, aset yang dibawa pulang dari Pulau Cayman disimpan di sebuah bank Singapura itu dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.

Pada 20 Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku wang 1MDB yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura.

Dalam jawapannya di Dewan Rakyat, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura yang tidak dinamakan.

Terdahulu pada 10 Mac, Najib dalam jawapan bertulis di Parlimen mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di BSI.

Najib berkata, tujuan ia disimpan di Singapura adalah untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ketat BNM.

Bagaimanapun, sebuah laman pembocor maklumat, Sarawak Report mendedahkan wujud bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh presiden 1MDB Arul Kanda bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014.

Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah mengenai aset anak syarikat 1MDB.

“Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah Kementerian Kewangan yang salah faham mengenai 1MDB, atau 1MDB yang menyediakan maklumat salah kepada Kementerian Kewangan? soal Tony. – Roketkini.com